Presiden Gerakan Dominic Lau meremehkan pergeseran yang dilaporkan antara partinya dan PAS sebagai sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).
Lau memetik perbandingan dengan hubungan suami isteri yang menurutnya mempunyai personaliti bertentangan, namun tetap menjadi teman sejati.
"Yang ajaibnya, perbezaan itu yang mengikat kita bersama, bukan persamaan. Sepasang suami isteri selalunya personaliti mereka bertentangan, tetapi mereka menjadi teman sejati sehingga hayatnya menemui pencipta.
"Perbezaan yang wujud di antara kita memberi fleksibiliti dan kekuatan kepada kita. Satu pasukan yang selalu bergaduh akan jalan lebih jauh daripada satu pasukan yang setuju 100 peratus kerana elakkan konfrontasi," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Lau menambah bahawa sudah tiba masanya untuk mengukuhkan gabungan itu.
Jelas Lau, PN yang juga termasuk Bersatu, sejak penubuhan gabungan itu sebelum pilihan raya umum ke-15 lalu tidak pernah mempunyai peluang untuk membincangkan perbezaan mereka.
"Sebagai satu gabungan politik yang agak muda, PN masih mempunyai ruang untuk memenangi kepercayaan lebih ramai pengundi, atas kekuatan yang tersendiri.
"Sejak penubuhannya, tidak pernah lagi kami duduk untuk berbincang macam mana nak selaraskan perbezaan antara kita.
"Jadi pada hemat saya, tibalah masanya kita memperkasakan keutuhan perikatan ini,” katanya.
Gesaan Lau untuk memperkukuh PN berikutan perang mulut terbuka antara Gerakan dan pemimpin PAS berhubung isu penglibatan syarikat kilang bir dalam acara mengumpul dana untuk sekolah Cina.
Pemimpin Gerakan tidak hadir semasa pengumuman calon PN bagi PRK Nenggiri di Gua Musang semalam, dan PAS serta pemimpin Bersatu dalam ucapan mereka hanya menyerlahkan kerjasama padu antara dua parti berasaskan Melayu itu.
Pada Ahad, timbalan presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia bermakna mempertahankan pendidikan Cina.
Oh menjawab kecaman daripada pemimpin PAS seperti ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari dan timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala lidah rasmi parti itu Harakahdaily menganggap pendirian Gerakan adalah sama dengan DAP.
Sementara itu, Oh hari ini menyeru semua parti komponen PN bertemu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan PAS.
Mengulas lanjut, Lau berkata PN telah mencapai "tahap maksimum" dalam meraih kepercayaan pengundi Melayu, dan oleh itu keadaan itu sama ada dijangka kekal konsisten atau jatuh ke tahap yang lebih rendah.
"Yakni ia masih tidak mencukupi untuk bertakhta di Putrajaya," tambahnya, sambil menambah bahawa PN masih tidak dapat mewakili semua lapisan masyarakat.
"Saya lihat ada segelintir ahli-ahli parlimen kita dah haus dalam naratifnya. Itu sahajalah 'pi mai pi mai tang tu' isu nak dibawa.
"Sementara kita memainkan peranan semak dan imbang, saya lihat kita sudah sampai 'bottleneck', waktu ini tepat pada masanya kita duduk dan berbincang,” katanya.
Justeru, Lau berkata dia akan mengemukakan cadangannya untuk berbincang dengan pemimpin PN, ke arah menganjurkan satu lagi forum dalaman yang melibatkan akar umbi daripada ketiga-tiga parti.
Awal hari ini, Pemuda Gerakan Johor berkata ia akan membekukan hubungan dengan Pemuda PAS negeri berkuat kuasa serta-merta, juga berhubung isu derma kilang bir.