Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM arah henti jual aiskrim perisa ubat batuk
Diterbitkan:  Jul 30, 2024 6:24 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Kementerian Kesihatan telah mengarahkan jenama aiskrim tempatan untuk menghentikan penjualan produk yang menggunakan ubat batuk tradisional sebagai ramuan.

Ini selepas rangkaian aiskrim popular Inside Scoop minggu ini melancarkan perisa baru yang dibuat dengan Pei Pa Koa (Ubat Batuk Cap Ibu dan Anak).

Kementerian itu berkata Pei Pa Koa adalah ubat terkawal yang mempunyai kontraindikasi untuk wanita hamil, manakala Akta Makanan 1983 menghalang mencampurkan bahan tersebut dengan makanan lain untuk dijual.

"Sehubungan itu, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk ini adalah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.

"Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

"Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan," katanya.

Semakan oleh Malaysiakini mendapati Inside Scoop telah mengalih keluar pengiklanan produk itu di kebanyakan halaman media sosialnya manakala perisa itu tidak tersedia untuk pembelian daripada laman webnya.

Ubat batuk yang popular di kalangan orang Asia itu baru-baru ini mendapat perhatian antarabangsa apabila penyanyi British Zayn Malik sering mengambilnya untuk menjaga pita suaranya.

Dalam video TikTok, dia menyebutnya sebagai "eliksir istimewa".

Sementara itu, Inside Scoop dalam hantaran terbaru di Instagram memohon maaf kepada pelanggannya atas perkara itu.

“Berikutan nasihat Kementerian Kesihatan, kami mengucapkan selamat tinggal kepada perisa aiskrim Pei Pa Koa kami, berkuat kuasa serta-merta.

“Jika anda telah memesan perisa ini dalam talian, jangan risau! Pasukan kami akan menghubungi anda untuk menyelesaikan bayaran balik anda.

"Kami benar-benar memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul dan kami menghargai pemahaman anda!" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS