Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami beri motivasi, bukan hukum - Bekas penyelaras program latihan TLDM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendengar bahawa mendiang kadet tentera laut J Soosaimanicckam tidak pernah dihukum dan sebaliknya diberi motivasi untuk melengkapkan latihan fizikalnya.

Bekas penyelaras program latihan kadet tentera laut Muhammad Faiz Mohamed Zanila memberi keterangan terhadap tuntutan berhubung kematian Soosaimanicckam oleh keluarga mendiang semasa latihan enam tahun lalu.

Faiz berkata, tidak pernah ada unsur hukuman apabila Soosaimanicckam dipisahkan daripada kumpulan senaman utama kerana tidak dapat menyempurnakan rutin senaman fizikal di kem KD Sultan Idris 1 di Lumut, Perak, pada 19 Mei 2018.

Bekas penyelaras latihan tentera laut itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama keluarga itu Latheefa Koya.

Latheefa: Jadi mana-mana pelatih yang tidak dapat menamatkan latihannya akan dipisahkan daripada kumpulan pelatih utama?

Faiz: Ya.

Latheefa: Ini untuk menghukum?

Faiz: Saya tidak setuju. Dalam latihan senaman fizikal, semua pelatih mempunyai kebolehan yang berbeza, contohnya ada yang boleh melakukan 20 pushup manakala ada segelintir hanya lima pushup. Pelatih yang dapat melakukan hanya lima pushup tidak dapat bersaing dengan kumpulan utama yang mampu melakukan 20 pushup, jadi kami memisahkan mereka untuk melatih mereka agar dapat menyelesaikan 20 pushup.

Latheefa: Proses memisahkan mereka ini, adakah itu tidak menghukum?

Faiz: Dalam tentera kita beri motivasi, kita dorong mereka selesaikan tugas (latihan), kita beri motivasi untuk selesaikan tugas, itu bukan hukuman.

Saksi bagi tentera laut itu kemudiannya membuat simulasi tindakan motivasi di mana dia berkata "Ayuh kawan-kawan, anda boleh melakukannya. Jika anda tidak boleh lakukan, selesaikan lima yang pertama".

Faiz, bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kerajaan, disaman oleh keluarga Soosaimanicckam atas dakwaan kecuaian menyebabkan kematiannya di kem latihan pada 19 Mei 2018.

Dalam menuntut pampasan, keluarga mendiang mendakwa dia menjadi mangsa ragging (buli kekerasan) oleh jurulatih tentera laut sejak melapor diri ke pangkalan tentera laut untuk menjalani latihan kelayakan pegawai pada 12 Mei 2018.

Keluarga itu mendakwa permintaan lelaki berusia 27 tahun itu untuk dirawat di hospital kerana leptospirosis (penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang menyerang manusia dan haiwan) ditolak.

Semasa perbicaraan, mahkamah sivil mendengar keterangan bahawa seorang pegawai latihan tentera laut duduk di kawasan perutnya dan menamparnya berulang kali semasa latihan.

Pada 19 Mei 2018, dia disahkan meninggal dunia di Hospital Tentera Lumut.

Dalam satu kenyataan media, tentera laut berkata pegawai kadet siswazah itu mengalami sakit dada dan sesak nafas di asramanya selepas menjalani latihan harian dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Doktor yang bertugas dikatakan memberi bantuan pernafasan dan rawatan kepada mangsa. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang.

Ketua Polis Daerah Manjung, Muhammad Hanif Othman berkata, laporan perubatan forensik menolak perbuatan khianat dan Soosaimanicckam meninggal dunia akibat cecair dalam paru-paru. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Ipoh semalam memutuskan Soosaimanicckam meninggal dunia akibat pembunuhan, sekali gus membatalkan keputusan terbuka Mahkamah Koroner sebelum ini berhubung kematiannya.

Perbicaraan saman sivil di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Idah Ismail akan disambung pada Khamis minggu ini.

Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan Abdul Hakim Abdul Karim mewakili kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS