Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l Menyangkal tuduhan 'Ini k'jaan paling diktator’ Ambiga

ULASAN l Betulkah kerajaan sekarang ini adalah kerajaan yang paling diktator yang kita ada?

Demikian tuduhan Ambiga Sreenevasan terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Saya menghormati Ambiga mantan pimpinan NGO Bersih dan mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia.

Tetapi tuduhan terbaru Ambiga ini saya tidak bersetuju.

Saya ahli parlimen dari parti PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tunggak kerajaan persekutuan sekarang.

Saya nak menyangkal tuduhan Ambiga kerana tuduhan itu salah.

Cadangan kerajaan untuk mengenakan syarat bahawa syarikat-syarikat flatform media sosial dari luar negara perlu ambil lesen mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh dibantah, boleh dipertikai dan boleh disanggah semaunya.Tetapi menuduh kerajaan persekutuan terus terus jadi dictator kerana cadangan itu adalah berlebihan dan tidak adil.

Saya sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat yang menyokong kerajaan persekutuan sekarang walaupun sedar kerajaan ini ada kelemahannya di sana sini amat yakin bahawa kerajaan ini bukan kerajaan diktator.

Saya yang menceburi dunia politik dari muda semasa mahasiswa sehingga ke usia warga emas kini yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara menafikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar ini seorang diktator.

Bagaimana kerajaan ini diktator sedangkan ia tidak pernah menggantung parlimen dengan mengisytiharkan darurat seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelumnya?

Bagaimana kerajaan pimpinan Anwar ini seorang diktator sedangkan di Parlimen Laporan Suhakam dibahaskan? Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC) Parlimen dibahaskan secara terbuka di Parlimen?

Bagaimana kerajaan persekutuan sekarang jadi diktator sedangkan tiga minggu lalu pada 6 Julai calon yang mewakili parti kerajaan persekutuan kalah teruk di PRK Sungai Bakap?

Adakah kerajaan diktator benarkan berlaku calon partinya kalah teruk macam di PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang dan kalah sebelum itu di PRK Kemaman, Trengganu.

Jadi, tolonglah Ambiga!

Berpada-padalah jika menuduh kerajaan persekutuan yang ada sekarang.

Tegur dan kritiklah akan segala kelemahan kerajaan persekutuan ini. Tetapi menuduh diktator itu terlalu berlebihan.


HASSAN ABDUL KARIM adalah ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS