Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar forensik: Pegawai kadet TLDM boleh diselamatkan jika dirawat awal

Pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam berpeluang untuk diselamatkan jika menerima rawatan awal pada enam tahun lalu, menurut pakar patologi forensik Dr Bhupinder Singh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dr Bhupinder memberi keterangan berkenaan analisis laporan fonresik mendiang, yang meninggal dunia ketika latihan di KD Sultan Idris di Lumut, Perak pada 19 Mei 2018.

Memberi keterangan bagi pihak keluarga, pakar itu berkata sejarah Soosaimanicckam menunjukkan dia mengadu berkenaan kesukaran bernafas dan kesakitan otot beberapa hari sebelum kematiannya.

"Pada pandangan saya, mendiang boleh diselamatkan jika diberi rawatan awal.

"Kebanyakan orang pulih dalam beberapa hari atau minggu. Pesakit dengan gejala yang teruk perlu dirawat di hospital," katanya kepada hakim Idah Ismail.

Keluarga Soosaimanicckam memfailkan saman dan menuntut pampasan daripada kerajaan dan TLDM berhubung dakwaan kecuaian yang membawa kepada kematian lelaki berusia 27 tahun itu.

Menurut pihak keluarga, Soosaimanicckam menjadi mangsa buli pelatih sejak melaporkan diri untuk menjalani latihan kadet pada 12 Mei 2018.

Dinafikan rawatan hospital

Pihak keluarga juga mendakwa permintaan Soosaimanicckam agar dihantar ke hospital untuk rawatan leptospirosis (penyakit yang berpunca daripada bakteria) ditolak.

Ketika prosiding sebelum ini, saksi berkata seorang pegawai Latihan duduk di atas perut mendiang dan menamparnya beberapa kali.

Dia disahkan meninggal dunia pada 19 Mei 2018 di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

TLDM dalam kenyataan media sehari kemudian memaklumkan Soosaimanicckam mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal, yang merupakan rutin harian pelatih pada pukul 12.20 tengah hari.

Susulan itu, Soosaimanicckam telah diberikan bantuan penafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS