Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datasonic menang tender terbuka kontrak bekal mesin layan diri RM21 juta
Diterbitkan:  Jul 30, 2024 3:09 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Datasonic Group Sdn Bhd menang kontrak bernilai RM21.26 juta untuk menyewakan 818 mesin layan diri kepada Kementerian Ekonomi.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, Datasonic berkata kontrak selama dua tahun itu akan memberi sumbangan secara positif kepada pendapatannya.

Malaysiakini difahamkan Datasonic merupakan salah satu daripada beberapa syarikat yang dipilih menerusi tender terbuka untuk membekalkan 4,900 mesin layan diri untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Laman web perolehan kerajaan, e-Perolehan menyatakan permohonan tender ditutup pada Mac lalu dan telah menarik minat 22 syarikat.

Syarikat yang mendapat tender tersebut belum diumumkan di laman web itu.

IPR merupakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan infrastruktur sokongan untuk usahawan kecil yang akan membekalkan makanan untuk dijual di mesin tersebut.

Pengumuman kontrak ini dibuat beberapa hari selepas Datasonic memaklumkan ia akan membekalkan kad pintar bernilai RM30 juta kepada Perum Percetakan Negara Republik Indonesia (PNRI), iaitu unit di bawah Kementerian Usaha Milik Negara Indonesia.

Datasonic menjadi perhatian pada 2021 selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa atas pertuduhan menerima RM6 juta daripada Syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd in 2017, sebagai dorongan untuk memberikan kontrak membekal cip pasport kepada Datasonic.

Mahkamah kemudian memutuskan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) untuk kes itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS