Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Fayhsal: PN perlukan Gerakan, Bersatu akan jadi pendamai

Bersatu akan memainkan peranan sebagai pendamai bagi meredakan ketegangan antara dua rakan komponennya dalam PN, iaitu PAS dan Gerakan, menurut Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

PAS dan Gerakan berbeza pandangan berhubung isu penglibatan syarikat minuman keras dalam acara kutipan dana sekolah Cina.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan ketua Pemuda Bersatu berkata, PN memerlukan Gerakan memandangkan gabungan itu mewakili rakyat pelbagai kaum.

Dia juga yakin kepimpinan parti akan mengadakan mesyuarat dalaman untuk menyelesaikan perkara itu selepas PRK Nenggiri nanti.

"Kami bukan Melayu far-right, xenofobik, Islamis atau ekstremis. Kami (PN) untuk semua.

"Saya rasa PAS setuju dengan saya dalam aspek ini, tetapi biasalah kadang-kadang adik dan abang bergaduh," katanya sambil menambah dia akan membantu kepimpinan PN untuk merapatkan jurang antara PAS dan Gerakan.

Pada 27 Julai lalu, Gerakan menyatakan penglibatan syarikat minuman keras dalam acara seumpama itu tidak seharusnya dilarang.

Ia mengundang kritikan daripada pemimpin PAS, antaranya ketua penerangan Mohd Fadhli Shaari dan timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala Harakah menyifatkan pendirian itu sama dengan DAP.

Susulan itu, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata parti itu tidak teragak-agak untuk keluar daripada PN demi mempertahankan sistem pendidikan Cina.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata dia memahami pendirian PAS dan Gerakan.

Namun, ahli Parlimen Machang itu tidak setuju minuman keras "dijaja sebegitu rupa" di sekolah - sama ada sekolah vernakular atau bukan.

"Kami tidak membantah sekolah vernakular dan sekolah vernakular ada hak untuk raih dana daripada mana-mana sumber.

"Tetapi anda tidak boleh secara terang-terangan promosi alkoholisme di sekolah seperti apa yang berlaku di sekolah di Sepang.

"Salah juga untuk (Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan) Aiman Athirah menunjukkan thumbs up dengan sepanduk. Ia penghinaan kepada agama, kaum dan masyarakat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS