Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas anggota TLDM lompat ke kapal Bersatu taktik strategik, kata PAS

Tindakan Mohd Rizwadi Ismail keluar PAS dan menyertai Bersatu dalam tempoh kira-kira 24 jam sebelum dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya kecil Nenggiri di Kelantan adalah satu taktik strategik, kata timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, tinjauan mendapati bekas pegawai tentera laut berusia 41 tahun itu mempunyai peluang lebih tinggi untuk memenangi kerusi DUN Nenggiri berbanding calon lain daripada Bersatu.

“Bila kita tengok dua tiga nama, beliau (Rizwadi) lebih diterima oleh pengundi di Nenggiri.

“Itu yang kita cadang, Bersatu pun setuju beliau jadi calon,” katanya kepada Malaysiakini.

Rizwadi dilaporkan mengemukakan peletakan jawatannya sebagai ahli PAS pada Ahad lalu yang diluluskan pada hari yang sama. Dia kemudian serta-merta menyertai Bersatu.

Semalam, kepimpinan PN mengumumkannya sebagai calon gabungan itu untuk pilihan raya kecil dan ini mengundang cemuhan daripada pihak lawan mereka.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kepimpinan PN merasakan Rizwadi akan diterima oleh kedua-dua penyokong PAS dan Bersatu.

Selain itu, katanya, PAS mempunyai pengaruh yang lebih besar di kawasan parlimen Gua Musang, yang merangkumi Nenggiri, berbanding sekutunya, Bersatu.

“... di Kelantan purata pertembungan adalah antara PAS dengan Umno. Parti macam Bersatu ini, dia ada la beberapa tempat dia ada kekuatan, cawangan dan sebagainya.

“Bagi kawasan Gua Musang, (khususnya) Nenggiri, PAS lebih kuat la,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim berkata Rizwadi terpaksa keluar PAS dan menyertai Bersatu kerana agihan kerusi antara parti komponen PN.

Sambil menyifatkan ia bukan sesuatu yang luar biasa, pemimpin PAS itu berkata parti lain juga menggunakan taktik sama sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata, dia percaya PN mampu mengekalkan kerusi Nenggiri dengan majoriti yang lebih besar, kali ini.

“Saya tengok mood sekarang ini lebih besar banding PRU dan PRN dulu.

“Kita tengok sentimen itu kita jangka lebih baik daripada PRN dulu,” tambahnya.

PRK Nenggiri diadakan susulan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Mohd Amar Abdullah yang mengumumkan kekosongan pada 13 Jun lalu.

Ia berikutan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim.

Hari penamaan calon dan pengundian awal ditetapkan masing-masing pada 3 dan 13 Ogos, manakala hari pengundian ditetapkan pada 17 Ogos.

Azizi memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 810 undi menentang calon BN Ab Aziz Yusoff pada pilihan raya negeri tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS