Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tumpu isu Melayu bukan derma syarikat arak, kata Zaid
Diterbitkan:  Jul 30, 2024 11:39 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim membidas pemimpin PAS dan Umno yang didakwanya silap meletakkan keutamaan dengan menyalurkan kemarahan mereka dalam isu membabitkan kilang bir menderma kepada sekolah Cina.

Menurutnya, terdapat isu-isu yang lebih serius mengenai orang Melayu yang harus mereka ambil berat.

“Orang Melayu mengalami ketagihan serius lain yang sepatutnya dibimbangkan oleh pemimpin ini. Ketagihan dadah tidak pernah diperkatakan. Ketagihan seks juga sama seriusnya.

“Berapa ramai suami curang kepada isteri pertama dan berkahwin di Siam? Mereka ini harus menghentikan perkara itu,” kata Zaid pada satu hantaran di media sosial, X hari ini.

“Terengganu terpaksa mengasingkan orang ramai di stadium untuk menahan godaan mereka yang boleh membawa kepada aktiviti seksual.

“Adakah ini bukan ketagihan?” soalnya.

Zaid mengulas tentang tentangan keras pemimpin politik kerajaan dan pembangkang berhubung isu derma kilang arak kepada sekolah Cina.

Dr Muhamad Akmal Saleh

Selain kritikan daripada pemimpin Perikatan Nasional (PN), kerajaan juga mernjadi sasaran Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dia dilaporkan berkata, dalam sukan bola sepak pun sumbangan oleh syarikat arak, rokok dan judi tidak dibenarkan, apa lagi kepada pihak sekolah.

Mengulas lanjut, Zaid berkata antara isu yang memerlukan lebih perhatian lebih ialah serangan seksual terhadap remaja lelaki di sekolah termasuk yang berkaitan agama.

Katanya, dia kesal kerana kebanyakan kes seumpama itu diketepikan apalagi pelakunya diheret ke mahkamah atas dakwaan jenayah mereka.

“Di negara ini, banyak perkara jahat dilakukan tetapi pelakunya berselindung di bawah nama agama. Terdapat begitu banyak kes guru agama dilaporkan terlibat dalam aktiviti seksual.

“Terdapat banyak masalah serius yang melanda masyarakat Melayu, namun pemimpin mereka hanya marah terhadap bir, judi dan orang Cina.

“Mereka tidak peduli dengan orang Melayu,” kata Zaid lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS