PRK NENGGIRI | PN menamakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Rizwadi Ismail, sebagai pertaruhan terbaik parti itu bagi mempertahankan kerusi DUN Nenggiri.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kelantan, Mohd Nasuruddin Daud di Masjid Hijau Renok, Gua Musang.
Menurutnya, sebelum menyertai Bersatu, Mohd Rizwadi pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang.
"PN bersetuju bahawa calon Dun Nenggiri daripada parti Bersatu. Calon yang dipilih berusia 41 tahun menetap di Bertam Lama yang pengundi di Dun Nenggiri.
"Calon yang diketengahkan oleh PN adalah seorang aktivis politik yang aktif dalam politik Gua Musang, antara jawatan yang pernah dipengang beliau adalah timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang,” katanya ketika berucap mengumumkan calon.
Tambah Nasuruddin, penyertaan Mohd Rizwadi bersama Bersatu adalah satu strategi PN bagi memperoleh kemenangan dengan majoriti besar.
"Beliau menyertai Bersatu dengan semangat idealisme perjuangan demi masa depan masyarakat Nenggiri," katanya.
Selain itu, katanya, Mat Rizwadi merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menyertai pasukan itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin serta Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Selepas pengumuman rasmi dibuat Mohd Rizwadi mengambil tempat di atas pentas untuk melafazkan ikrar dan sumpah laknat.
Antara lain dia bersumpah untuk patuh kepada perlembagaan Bersatu serta tidak akan meninggalkan parti berkenaan atau bakal dilaknat Allah.
Mohd Rizwadi yang mewakili PN akan menggunakan logo PAS pada PRK Nenggiri 17 Ogos nanti.
PRK Dun Nenggiri diadakan selepas Speaker Dun Kelantan, Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi berkenaan selepas Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos sebagai hari pengundia, manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Mohd Azizi menang kerusi Dun Nenggiri dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.