Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Belum ada tanda-tanda ketegangan di antara PAS dan Gerakan akan mengendur buat masa ini.

Ekoran kesediaan Gerakan untuk memilih haluan baru semalam, seorang pemimpin kanan PAS bahkan menasihatkan parti terbabit agar "belajar menghormati" pihak lain.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor berkata Gerakan perlu belajar menghormati orang Melayu dan Islam di negara ini, bukannya membuat ugutan politik.

“Tak payah nak ugut oranglah, kita pun dah matang. Tak payah ugut tapi sebaliknya belajar menghormati orang juga.

"Belajar hormat orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Tak perlu ugut-ugut, politik apa ugut-ugut ni? (Politik ugut-ugut ni) lama dah tu,” katanya kepada Malaysiakini.

Pertembungan pendapat di antara PAS dan Gerakan berasal daripada pendirian berbeza kedua-dua parti terhadap peranan syarikat arak memudah cara kutipan dana sekolah Cina.

Ketika beberapa pihak tidak senang dengan pembabitan syarikat itu - seperti yang berlaku di Sepang baru-baru ini - Gerakan sebaliknya menganggap tidak wajar ia disekat.

‘Tak reti hormat kita’

Bahkan lidah rasmi PAS, harakahdaily, menganggap pendirian Gerakan itu adalah senada dengan DAP.

Ia mengundang reaksi keras PAS. Sebelum ini teguran PAS kepada Gerakan sudah dinyatakan oleh ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, serta timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menanggapi teguran itu, Gerakan berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia dapat membolehkan mereka mempertahankan sistem pendidikan Cina.

Menurut timbalan presiden parti itu, Oh Tong Keong, Gerakan juga tidak mahu kekal dalam PN jika mereka terpaksa tunduk terhadap sebarang tuntutan konservatif, tidak munasabah dan melampau daripada "parti tertentu."

Oh Tong Keong

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, dia sendiri secara peribadi tidak ada sebarang masalah jika benar Gerakan mahu keluar dari PN.

“Sila keluar, itu komen Sanusi.

"Iyalah, semua orang nak hormat dia (Gerakan) saja, (sedangkan) dia tak reti nak hormat kita.

"Takkan semua benda kita nak hormat dia? Dia tak perlu hormat kitakah?" katanya.

Sanusi juga menambah, teguran agar menghormati orang Melayu dan Islam itu bukan saja ditujukan kepada Gerakan bahkan semua parti yang berasaskan kaum di negara ini.

Untuk rekod salah seorang Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah juga menyatakan rasa terbuka parti itu jika Gerakan mahu keluar dari PN.

Dipetik portal Free Malaysia Today, Mohd Amar berkata setiap parti ada hak dan pendirian sendiri, justeru jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS