Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahu bayaran lebih punca kontrak Bestinet masih tak selesai - sumber

Kontrak Bestinet Sdn Bhd bagi menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) masih tidak dapat dimuktamadkan selepas syarikat itu cuba mengenakan caj lebih tinggi kepada pengguna, kata sumber kerajaan.

Terdahulu, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara menyebut bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet Ismail Mohd Noor mengesahkan mereka meminta kerajaan melanjutkan kontrak selama enam tahun, sehingga 2030, dengan caj baru RM120 untuk setiap pekerja. 

Sumber Jabatan Perdana Menteri (JPM memberitahu Malaysiakini, kontrak baru masih tidak dapat dimaterai kerana kesefahaman berkaitan caj itu tidak dicapai.

Menurut sumber, Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), badan kerajaan yang menguruskan kerjasama dengan sektor awam, mengesyorkan caj bawah RM100. 

Bagaimanapun, menurut sumber, selepas kerajaan mengumumkan persetujuan menyambung kontraknya selama tiga tahun bulan lalu dengan syarat lebih ketat, Bestinet mahukan bayaran lebih dua kali ganda.

"Tetapi, selepas kerajaan bersetuju untuk melanjutkan kontrak, syarikat itu minta lagi lebih," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Katanya, dalam mesyuarat terbaru Rabu lalu, Ukas memberi cadangan caj antara RM150 hingga RM200 tetapi masih ditolak.

Kerajaan dan syarikat telah mengadakan mesyuarat lebih dua kali, tetapi masih tidak dapat menetapkan caj bayaran dipersetujui.

Pada 24 Jun tahun ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan melanjutkan kontrak Bestinet tiga tahun lagi dengan syarat lebih ketat.Menurutnya, kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan dianggotai wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan syarat kontrak.

Antara prinsip asas yang dibincangkan adalah aspek mempercepatkan permohonan, mengurangkan kos migrasi, kebajikan pekerja asing dan kepentingan majikan.

Ketika dihubungi, wakil Bestinet enggan mengulas lanjut dan hanya berkata sebarang keputusan akan diumumkan oleh kerajaan.

"Sekiranya ada, kerajaan akan membuat pengumuman," kata seorang pegawai perhubungan awam Bestinet.

Laporan Ketua Audit Negara 2022 antara lain mendedahkan ada banyak kelemahan yang berpotensi dimanipulasi, dengan konflik kepentingan dan pelanggaran tadbir urus.

Bestinet diasaskan oleh seorang rakyat Bangladesh bernama Aminul Islam Abdul Nor yang kini mempunyai kewarganegaraan Malaysia.

FWCMS melibatkan 15 modul pengambilan warga asing daripada 15 negara untuk penggajian di Malaysia sehingga penghantaran pulang. 

Di sebalik tindakan kerajaan memberikan Surat Setuju Terima (SST)  selama enam tahun kepada Bestinet pada tahun 2018, masih tiada perjanjian dibuat.

Dalam sistem ini, kos sistem dibiayai oleh Bestinet dan kerajaan tidak perlu membuat sebarang bayaran.

Bagaimanapun, pengguna sistem dikenakan bayaran.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dalam SST yang diberikan pada 2018 tidak menyatakan dengan jelas mengenai caj bayaran yang dikenakan oleh Bestinet.

PAC juga berkata terdapat persetujuan Bestinet boleh mengenakan RM100 bagi setiap permohonan. Bagaimanapun, Ismail memberitahu PAC bahawa caj RM100 tidak dilaksanakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS