Paling Popular
Terkini

Najib Razak dan anaknya, Nazifuddin Najib gagal dalam usaha menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka bagi mendapatkan semula RM1.69 bilion dan RM36.7 juta dalam bentuk cukai.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini menolak permohonan penangguhan oleh Najib dan Nazifuddin berhubung prosiding kebankrapan yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika ditemui media, peguam mereka, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, kedua-dua mereka memohon penangguhan kerana telah memfailkan rayuan penilaian semula cukai dengan LHDN.

Najib dan Nazifuddin mengemukakan rayuan penilaian semula cukai dengan Pesuruhjaya Khas untuk Cukai Pendapatan, tribunal bukan kehakiman di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kami akan merayu (kepada hakim Mahkamah Rayuan)," kata Farhan berhubung keputusan pendaftar mahkamah hari ini.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus (keputusan tanpa perbicaraan penuh) bagi cukai yang dinilai terhadap Najib dan Nazifuddin.

Setahun kemudian, LHDN memulakan prosiding kebankrapan terhadap Najib dan anaknya di Mahkamah Tinggi Insolvensi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS