Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebanyakan program kutipan dana sekolah Cina tak libatkan pelajar - Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata program kutipan derma untuk sekolah Cina, termasuk yang diterima daripada kilang arak, kebanyakannya diadakan di luar kawasan sekolah dan dihadiri ibu bapa serta mereka yang memberi sokongan kepada sekolah berkenaan.

Dia berkata sebelum ini acara seumpama itu kebiasaannya diadakan di restoran atau di premis luar sekolah, mengikut garis panduan sedia ada daripada Kementerian Pendidikan.

"Kebanyakan tak libatkan pelajar sebab yang pergi tu ibu bapa mereka ataupun orang ramai yang hadir untuk beri sokongan kepada sekolah.

"Bukan program libatkan murid,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan bahawa pelajar, tanpa mengira agama, secara tidak langsung terdedah kepada alkohol menerusi sokongan syarikat kilang bir untuk sekolah-sekolah Cina.

Loke sekali lagi menegaskan penganjuran kutipan derma seperti itu telah menjadi amalan di sekolah Cina dan oleh itu tiada isu di kalangan ibu bapa bukan Islam.

Isu mengenai sumbangan untuk sekolah Cina menjadi tajuk utama selepas Konsert Pengumpulan Dana Pendidikan Cina Tiger-Sinchew menyaksikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman ​​Athirah Sabu dilihat memegang cek replika memaparkan logo jenama bir itu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan berkata ia mengekalkan garis panduan sedia ada yang melarang sekolah menerima sumbangan daripada hasil arak, dadah, perjudian dan aktiviti seumpamanya yang disifatkan boleh memudaratkan pembangunan pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS