Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini memutuskan kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut, empat tahun lalu sebagai kes homisid.
Susulan itu, Hakim Abdul Wahab Mohamed, mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan 'keputusan terbuka' berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet berkenaan pada 19 Mei 2018.
Dia berkata, bahawa kematian pegawai berusia 27 tahun itu adalah akibat langsung daripada pegawai tentera laut yang bertanggungjawab terhadap latihannya.
Hakim Abdul Wahab berkata pegawai tentera laut tersebut telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan untuk leptospirosis (penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang menyerang manusia dan haiwan) sehingga menjurus kepada punca kematian.
"Mengambil kira semua bukti terhadap siasatan punca kematian (inkues), Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan terbuka koroner dan menggantikan dengan homisid. Punca kematian si mati adalah edema pulmonari yang disebabkan oleh leptospirosis.
"Kematian si mati yang tidak dijangka adalah akibat langsung daripada pegawai TLDM yang bertanggungjawab untuk latihan kadet itu telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan," katanya.
Peguam, Zaid Malek yang mewakili keluarga Soosaimanicckam, berkata keluarganya bersyukur dengan keputusan hari ini memandangkan mereka sudah berusaha untuk mendapatkan keadilan bagi mendiang sejak enam tahun lalu.
Pada 16 Jun tahun lalu, Koroner Ainul Shahrin Mohamad memutuskan keputusan terbuka dalam inkues terhadap punca kematian Soosaimanicckam.
Katanya, kematian Soosaimanicckam pada 19 Mei 2018 adalah disebabkan edema pulmonari (cecair dalam paru-paru) semasa menjalani latihan.
Ainul Shahrin berkata, menurut laporan, mendiang terbuang air besar ketika mandi sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera Lumut dan disahkan meninggal dunia selepas itu.
Keputusan hari ini dibuat dengan dihadirioleh keluarga mendiang termasuk bapanya S Joseph, 70, abangnya Charles, 37, sepupunya Vincent Lourders, 56, dan peguam mereka Zaid Malek dan Mahajoth Singh.