Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan Maszlee pada Aiman Athirah tak logik, kata Khalid

Amanah berpendapat bekas menteri pendidikan Maszlee Malik wajar mendapatkan maklumat yang menyeluruh sebelum membuat kenyataan menyerang rakan sendiri dalam kerajaan, Aiman Athirah Sabu.

Menganggap Maszlee membuat kenyataan "tidak logik" berhubung isu tersebut, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata sebelum ini Aiman Athirah sudah memberi penjelasan berhubung kehadirannya di majlis mengumpul dana sebuah sekolah Cina di Sepang.

Pun begitu, kata Khalid, Maszlee masih membuat kecaman malah mencadangkan agar ketua Wanita Amanah Nasional terbabit melepaskan jawatannya sebagai timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, serta ahli parlimen Sepang.

“Saya tak faham kenapa Maszlee buat kenyataan yang bagi saya tidak wajar, dan Aiman Atirah sudah jelaskan dia tak tahu siapa penyumbang.

“Beliau (Maszlee) patut berjumpa dengan Aiman Atirah dulu, berbincang dan dapatkan penjelasan. Hanya selepas itu baru keluarkan kenyataan," katanya kepada media ketika ditemui pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Aiman Athiran menjadi perhatian ramai apabila hadir pada majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk sekolah Cina. Ia mencetuskan kontroversi apabila program tersebut melibatkan syarikat pengeluar bir, Tiger Beer.

Bagaimanapun syarikat terbabit tidak menghulurkan derma kepada sekolan berkenaan, sebaliknya menjadi perantara di antara penyumbang dengan pihak pentadbiran.

Aiman Athirah juga sudah membuat kenyataan permohonan maaf atas pembabitan tidak dirancangnya itu.

Kata Khalid, dia menganggap kenyataan dikeluarkan Maszlee adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili parti ahli politik terbabit, iaitu PKR.

“Saya tak tahu kenapa beliau membuat kenyatan sebegitu. Ia suatu kenyataan yang tak logik," katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, program berkenaan wajar menjadi isu jika sekolah terbabit merupakan institusi di bawah kelolaan secara langsung Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Kalau sekolah terlibat sekolah kerajaan atau sekolah agama, tak ada masalah (nak kritik), tapi itu sekolah Cina.

"Masyarakat Cina ada sekolah yang hanya dapat sebahagian bantuan daripada kerajaan.

"Program itu dibuat sejak bertahun-tahun untuk dapatkan sumbangan pihak swasta,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS