Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Derma syarikat arak: Tiada 'grey area', status quo kekal - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tiada kelompangan atau "kawasan kelabu" dalam keputusan kabinet mengenai garis panduan untuk pengumpulan dana bagi sekolah Cina.

Bercakap kepada pemberita di Klang hari ini, Loke menegaskan tiada sebarang perubahan akan dilakukan selain menjelaskan bahawa acara tersebut yang diadakan di sekolah tidak boleh meliputi sebarang paparan dan promosi minuman beralkohol.

"Tak ada grey area. Telah jelas bahawa status-quo remains (kekal), iaitu apa yang telah dilaksanakan sebelum ini, dibenarkan. Tak ada grey area,” kata setiausaha agung DAP itu.

Loke berkata keputusan kabinet juga menjelaskan bahawa pelajar Islam tidak akan terlibat dalam mana-mana kutipan derma yang mempunyai kaitan dengan kilang arak, baik yang diadakan di dalam atau di luar sekolah.

"Jadi status-quo diteruskan untuk penganjuran program-program ini, tetapi dengan syarat (yang) diletakkan jemaah menteri, tidak melibatkan pelajar-pelajar Islam.

"Jadi jelaslah," tegasnya.

Menurutnya lagi menteri-menteri lain termasuk daripada Umno yang menghadiri mesyuarat kabinet minggu lepas juga telah mengeluarkan penjelasan yang sama mengenai majlis amal anjuran SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang yang menimbulkan kontroversi selepas didapati bahawa Tiger Beer adalah salah satu daripada penderma.

"Jadi tidak perlulah timbul polemik berkenaan perkara ini. Telah diamalkan selama ini, tidak ada masalah. Hanya ada pihak-pihak yang cuba mempolitikkan dan cuba mengungkit perkara ini dan dijadikan satu polemik,” tambahnya.

Untuk rekod, sekolah-sekolah Cina menjalinkan kerjasama dengan syarikat kilang arak untuk menganjurkan konsert bagi mengumpul dana selama beberapa dekad.

Selain itu, sejak 2011, sekolah vernakular juga menerima sumbangan daripada Jana Pendidikan, sebuah tabung yang ditubuhkan oleh konsortium yang memiliki syarikat judi, Da Ma Cai.

Semalam, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan BN sebelum ini pernah menyalurkan dana yang dikutip daripada industri arak dan perjudian untuk membiayai sekolah vernakular dan tokong Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS