Paling Popular
Terkini

Prosiding rayuan terhadap pembebasan pemimpin Umno Sabah Bung Moktar Radin ditangguhkan susulan peguam tertuduh Bung Moktar Radin tidak sihat.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Ahmad Zaidi Ibrahim menjadualkan semula tarikh kepada 9 Oktober untuk pihak pendakwaan membuat rayuan dalam kes terhadap Bung dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad.

Ditemui media selepas prosiding,  K Kumaraendran--peguam  Zizie--berkata peguam Bung--M Athimulan--mempunyai masalah berkaitan jantung.

Anggota parlimen Kinabatangan dan Zizie dibebaskan pada 7 Sept 2023 setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.

Pihak pendakwaan mahu merayu terhadap keputusan itu kerana beranggapan hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan dalam tiga pertuduhan rasuah itu.

Pendakwaan antaranya berpendapat:

  • Hakim terkhilaf apabila membebaskan pasangan itu melalui proses semakan undang-undang tanpa merujuk alasan penghakiman penuh dan rekod prosiding Mahkamah Sesyen mengenai keterangan saksi pendakwaan ke-24 (Madhi Abdul Hamid) dan saksi pendakwaan ke-25 (Norhaili Ahmad Mokhtar).

  • Hakim terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membebaskan responden walaupun tidak dinyatakan dalam keputusan lisan hakim Mahkamah Sesyen bahawa keputusan prima facie yang dibuat hanya bergantung semata-mata kepada keterangan SP24 dan SP25.

  • Hakim terkhilaf dari segi undang-undang apabila gagal mempertimbang kebolehterimaan keterangan separa hostile oleh SP24 dan SP25.

Bung Moktar, ketika menjadi pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dia didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 12 Jun 2015.

Bung juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala isterinya didakwa bersubahat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS