Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP sedia kempen di PRK Nenggiri jika diminta - Teo
Diterbitkan:  Jul 28, 2024 10:12 PM
Dikemaskini: Jul 29, 2024 12:57 AM

DAP bersedia membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan bulan depan sekiranya terdapat permintaan daripada mana-mana parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata bagaimanapun parti itu tidak akan mengambil inisiatif sendiri menganjurkan sebarang program bagi tujuan berkempen kerana yang penting buat masa sekarang memastikan parti gabungan Kerajaan Perpaduan meraih kemenangan pada PRK tersebut.

"Kalau itu bukan kerusi DAP bukan kami yang letak calon, namun kami dengan senang hati bersedia untuk bantu, itu pendekatan kami.

"Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, DAP sentiasa sedia untuk bantu kalau diperlukan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pengkalan Kota di sini hari ini.

UMNO Kelantan mengumumkan Ketua Pemudanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili BN selaku parti gabungan Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN itu, yang diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS