Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tutup platform media sosial tak berlesen mulai 1 Jan depan
Diterbitkan:  Jul 28, 2024 3:55 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Kerajaan akan menutup platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet tidak berlesen pada 1 Jan depan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Langkah tegas itu, katanya, akan diambil sekiranya mereka gagal mematuhi arahan untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Tutup... itu kuasa pada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bagan Datuk di Sungai Sumun, Perak.

Ahmad Zahid dipetik berkata demikian oleh BH Online semasa menjawab soalan berhubung tindakan yang akan diambil oleh kerajaan terhadap mana-mana media sosial dan penyedia perkhidmatan mesej internet yang ingkar terhadap arahan MCMC.

Semalam, MCMC berkata ia akan memperkenalkan rangka kerja kawal selia baru untuk penggunaan internet yang selamat oleh kanak-kanak dan keluarga pada 1 Ogos, dengan pelaksanaan ditetapkan pada 1 Jan 2025.

Langkah itu selaras dengan keputusan kabinet untuk memastikan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet mematuhi undang-undang bagi menangani peningkatan jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Sebelum ini, platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga menafikan dakwaan bahawa arahan dikeluarkan MCMC bermotifkan politik dan bertujuan mahu menyekat kritikan terhadap kerajaan.

"Apa nak takut kalau media digunakan dengan menyatakan kebenaran dan memperkenalkan identiti (pemegang akaun) yang sebenar?

"Banyak negara tidak menggunakan saluran media sosial sekarang.

"China umpamanya tidak menggunakan saluran media yang sama dengan kita. Mereka ada cara sendiri untuk melawan.

"Singapura juga (mengenakan peraturan penyedia perkhidmatan media mesti) mendaftar. Banyak negara yang mendaftar supaya setiap netizen bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, bukan melempar (batu) tapi sembunyi tangan... itu namanya pengecut," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS