Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gua Niah diiktiraf tapak warisan arkeologi dunia Unesco
Diterbitkan:  Jul 27, 2024 9:36 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Malaysia melakarkan sejarah apabila Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak berjaya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco ketika sesi mesyuarat 46th World Heritage Committee di New Delhi, India.

"Penyenaraian bawah World Heritage List Unesco ini merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.

"Selain dapat memberikan promosi dan meningkatkan visibiliti di peringkat dunia, pengiktirafan ini juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan di negara ini.

"Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam menambah produk pelancongan budaya yang penting di negara ini," kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) pada satu kenyataan hari ini.

Tapak ini, kata Motac sangat istimewa kerana mengandungi rekod yang diketahui terpanjang berkaitan interaksi manusia dengan hutan hujan tropika.

"Turut ditemui dalam kompleks gua batu kapur ini ialah tapak arkeologi, lukisan pada dinding gua, keranda berbentuk perahu dan artifak-artifak lain.

"Penemuan ini membuktikan kepelbagaian dalam proses pengembangan dan adaptasi manusia terhadap perubahan persekitaran hutan hujan tropika pada sekurang-kurangnya 50,000 tahun yang lalu sehingga ke era pertengahan Holosen, daripada aktiviti mengumpul dan mencari makanan kepada aktiviti penanaman padi, arborikultur dan sayur-sayuran.

"Penemuan ini sangat signifikan bagi menjawab persoalan berkaitan penyebaran awal populasi manusia purba di rantau ini dan global," katanya lagi.

Pengiktirafan yang cukup berprestij ini telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota World Heritage Committee pada jam 7.00 petang waktu tempatan yang dipengerusikan oleh Vishal Sharma, wakil dari Republik India selaku negara tuan rumah.

Delegasi Malaysia telah diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Roslan Abdul Rahman.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancang Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Sarawak Len Taliff, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Delhi, India Muzafar Shah Mustafa dan pegawai-pegawai kanan dari MOTAC dan Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS