Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas menteri Siti Zaharah Sulaiman kembali ke rahmatullah
Diterbitkan:  Jul 27, 2024 7:08 AM
Dikemaskini: Jul 27, 2024 2:11 AM

Bekas menteri Allahyarhamah Siti Zaharah Sulaiman meninggal dunia tengah malam tadi, maklum Ketua Umno Maran Shahaniza Shamsuddin.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman," katanya pada hantaran di Facebook.

Siti Zaharah antaranya pernah menggalas jawatan menteri perpaduan dan pembangunan masyarakat, menteri di JPM dan timbalan menteri kesihatan.

Pada Oktober 1996, Zaharah menang pertandingan ketua Wanita Umno menewaskan Rafidah Aziz dengan majoriti 27 undian.

Sementara itu, anak sulung kepada Siti Zaharah, Timoer Dzakry Samarudin memberitahu Bernama, ibunya meninggal dunia di Hospital Serdang, dekat Kuala Lumpur.

Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 11.30 pagi ini.

Anak perempuan Siti Zaharah, Siti Amalia turut berkongsi berita sedih itu di laman Facebooknya.

“Inna lillaahi wa inna ilaihi rooji’un. Al-Fatihah. Semua yang ada tidak ada yang kekal. Setiap yang hadir dalam hidup akan kembali kepada Pencipta-Nya. Damailah ibu di sana.

“Terima kasih Ya Allah kerana meminjamkan ibu yang telah banyak berkorban dan penyayang kepada kami ... sungguh, telah pergi nikmat yang besar ini. Moga kami terus menjadi hamba-Mu yang bersyukur,” katanya.

Siti Zaharah yang juga Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) dilahirkan pada 24 April 1949 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).

Dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Mentakab, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS