Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris menyatakan kebimbangannya mengenai keadaan di Semenanjung Gaza kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa pertemuan mereka di Rumah Putih.
"Saya menjelaskan kebimbangan serius saya tentang situasi kemanusiaan yang teruk di sana, dengan lebih dua juta orang menghadapi tahap kekurangan makanan yang tinggi dan setengah juta orang menghadapi tahap bencana kekurangan makanan akut," lapor Agensi Anadolu memetik ucapan Harris semasa sidang akhbar selepas pertemuan tertutup dengan Netanyahu, pada Khamis.
Pertemuan itu diadakan sehari selepas Netanyahu berucap di hadapan sesi bersama Kongres AS, yang beliau mendakwa bahawa perang di Gaza mempunyai "satu daripada nisbah paling rendah antara pejuang dan korban bukan pejuang dalam sejarah peperangan bandar."
Harris berkata apa yang berlaku di Gaza sepanjang sembilan bulan lepas adalah "kemusnahan."
"Imej kanak-kanak mati dan orang yang terdesak, kelaparan melarikan diri untuk keselamatan, kadangkala dipindahkan untuk kali kedua, ketiga atau keempat.
"Kita tidak boleh berpaling dari tragedi ini. Kita tidak boleh membiarkan diri kita menjadi kebas terhadap penderitaan ini. Dan saya tidak akan berdiam diri," tambahnya.
Dengan kenyataannya, Harris mencerminkan perubahan besar dalam dasar Gaza, sambil mendesak Netanyahu mencapai gencatan senjata di kawasan terkepung itu.
"Terima kasih kepada kepimpinan presiden kita, Joe Biden, terdapat satu perjanjian untuk gencatan senjata dan pertukaran tebusan. Saya baru sahaja memberitahu Perdana Menteri Netanyahu sudah tiba masanya untuk menyelesaikan perjanjian ini," tambahnya.
Pada 31 Mei, Biden berkata Israel membentangkan perjanjian tiga fasa yang akan menamatkan permusuhan di Gaza dan memastikan pembebasan tebusan yang ditahan di kawasan pantai itu. Rancangan itu termasuk gencatan senjata, pertukaran tebusan-tahanan dan pembinaan semula Gaza.
"Mari kita selesaikan perjanjian untuk mendapatkan gencatan senjata bagi menamatkan perang. Mari kita bawa pulang tebusan dan mari kita sediakan bantuan yang sangat diperlukan kepada rakyat Palestin," kata Harris.
Harris juga menekankan bahawa beliau tetap komited ke arah usaha penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel.
- Bernama-Anadolu