Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan kekalkan garis panduan sumbangan dana untuk sekolah
Diterbitkan:  Jul 26, 2024 4:01 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan garis panduan sedia ada untuk sumbangan dana kepada sekolah, termasuk larangan memapar atau mempromosi minuman keras dalam sekolah.

Namun Kementerian Pendidikan (KPM) berkata kerajaan juga setuju memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular untuk menerima sumbangan melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan, seperti yang telah diamalkan sebelum ini.

"Bagaimanapun, jemaah menteri menegaskan penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam," kata KPM dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pula membangkitkan tindakan pembangkang yang menurutnya memainkan isu tersebut dengan mengkritik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu, sehingga menjadi kontroversi.

"Apa yang kabinet perlu buat adalah untuk tidak membenarkan pembangkang memburukkan keadaan, dan membenarkan persembahan kutipan dana diteruskan.

"Paling penting, kabinet memutuskan yang persembahan kutipan dana akan diteruskan. Pendirian kabinet adalah agar semua orang melihat persembahan amal yang seterusnya.

"Persembahan kutipan dana Tiger-Sinchew akan diteruskan, begitu juga dengan kegiatan lain oleh syarikat minuman keras dan media. Ketika itu, wakil rakyat kerajaan, seperti biasa, akan hadir untuk menyokong persembahan kutipan dana dan sekolah Cina," katanya lagi.

Kenyataan KPM itu susulan kontroversi melibatkan isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Terdahulu KPM memaklumkan sedang menyiasat dakwaan sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol.

Kementerian itu juga mengingatkan pentadbir sekolah supaya mengikut garis panduan sedia ada.

Isu berkenaan tercetus susulan kehadiran seorang timbalan menteri ke majlis kutipan dana sebuah sekolah vernakular di Sepang baru-baru ini yang dianjurkan syarikat pengeluar arak sekali gus menimbul polemik pelbagai pihak.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tajaan syarikat arak kepada sekolah itu baru-baru ini, adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Jelasnya, wujud persepsi silap yang mendakwa syarikat arak dan rokok menyalurkan dana kepada sekolah Cina.

Katanya, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS