Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Demo anti-Anwar di Tambun tak patuh syarat

Polis Perak memaklumkan himpunan yang dirancang diadakan di pejabat Ahli Parlimen Tambun oleh Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0 esok tidak mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima pemakluman mengenai himpunan ‘Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ melalui penganjur pada Rabu lalu.

“Setelah disemak didapati pemakluman ini tidak lengkap dan tidak mematuni syarat-syarat yang ditetapkan dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Oleh yang demikian pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai himpunan ini kerana merupakan perhimpunan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyertai himpunan berkenaan kerana ia tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah.

Semalam pengerusi sekretariat itu, Tun Faisal Ismail Aziz yang juga ahli Bersatu berkata mereka akan mengadakan ceramah umum pada hari ini dan disusuli keesokan hari dengan perhimpunan aman di Tambun - iaitu kawasan parlimen Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan itu Anwar ketika ditanya mengenai himpunan itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

“Ada ke? (himpunan), tak apalah,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ibnu Mas’ud, di Keramat, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS