Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mentega Terbang: Mahkamah tetapkan 24 Okt dengar persoalan perlembagaan

Penerbit filem "Mentega Terbang" akan mengemukakan hujah di mahkamah pada 24 Okt ini mengenai dakwaan ketidakabsahan undang-undang berhubung tuduhan melukakan perasaan penganut agama lain.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh untuk mendengar hujah lisan dari peguam yang mewakili pengarah, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng.

Peguam mereka, Zaid Malek, mengesahkan bahawa hakim K Muniandy akan mendengar hujah lisan dari pasukan pembelaan dan pendakwaan berhubung keabsahan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Peruntukan ini berkaitan dengan kes jenayah yang sedang berlangsung melibatkan filem kontroversi tersebut.

Timbalan pendakwa raya, Abdul Malik Ayob mengendalikan pendakwaan.

Khairianwar (di atas, kiri) dan Tan memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada frasa “melukakan perasaan penganut agama lain” dalam peruntukan itu adalah kabur dan melanggar kebebasan bersuara dan berekspresi.

Berdasarkan tuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, dua individu tersebut didakwa melukakan perasaan penganut agama lain menerusi penerbitan filem tersebut.

Filem berkenaan diterbitkan pada 2021 tetapi diharamkan pada lalu. Ia mengisahkan tentang Aishah yang berusia 15 tahun, yang tertarik untuk mengetahui mengenai kelahiran semula yang terdapat dalam agama lain selepas kematian ibunya.

Bapanya juga digambarkan sebagai seorang yang liberal yang tidak kisah anak perempuannya mempelajari kitab suci agama lain dalam mencari jawapan.

Pada 17 Januari lalu, Khairianwar dan Tan mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret atas tuduhan dengan sengaja melukakan perasaan penganut agama lain.

Sekiranya disabitkan bersalah di bawah Seksyen 298, kedua-dua mereka boleh dihukum dengan penjara maksimum satu tahun, denda atau kedua-duanya.

Khairianwar, 31, didakwa melakukan kesalahan tersebut selaku pengarah dan penulis skrip filem itu pada 26 Februari tahun lepas.

Tan yang juga seorang guru, didakwa melakukan kesalahan tersebut atas kapasiti sebagai penerbit filem kontroversi itu pada tarikh yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah unit di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, Kuala Lumpur sekitar jam 12.34 tengah hari.

Mereka juga didakwa dengan sengaja melukakan berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang itu dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang itu dengan berperanan sebagai seorang pengarah dan penulis skrip serta penerbit filem berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS