Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu LCS: Bekas panglima TLDM gagal batal pertuduhan pecah amanah

Bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard (BNS), Ahmad Ramli Mohd Nor hari ini gagal membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) berkaitan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ahmad Ramli yang juga bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagaimanapun, hakim Azhar Abd Hamid memerintahkan penilaian terhadap kecergasan tertuduh berusia 80 tahun itu untuk dibicarakan.

Ramli berusaha membatalkan kes jenayah itu atas alasan dia mengalami keadaan 'neurodegenerative progresif' dan 'demensia' sederhana.

Keputusan hari ini bermakna Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur perlu melakukan penilaian apakah tertuduh layak untuk dibicarakan.

Afidavit sokongan

Menurut afidavit sokongan oleh anak perempuan tertuduh Rinnie Nor Ahmad Ramli, pemeriksaan perubatan di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara menunjukkan dia mengalami 'keadaan neurologi progresif yang menjejaskan ingatan dan perhatiannya baru-baru ini.

Dia menegaskan bahawa keadaan saraf akan menyebabkan ayahnya tidak dapat mempertahankan dirinya dengan menyediakan versi kejadian yang tepat.

"Pemohon (Ramli) tidak akan dapat mengingat semula peristiwa atau perkara yang akan dibangkitkan semasa perbicaraan. Pemohon tidak mampu memberikan keterangan yang konsisten.

“Pemohon tidak akan dapat memberi arahan yang tepat dan berkesan kepada peguamnya.

"Keadaan neurologi pemohon adalah progresif dan berterusan, serta akan menjadi lebih teruk semasa perbicaraan.

"Terdapat risiko besar kesihatan pemohon akan terus terjejas semasa perbicaraan," kata Rinnie.

Pendakwaan

BNS ialah kontraktor yang ditugaskan untuk membina enam kapal LCS bagi TLDM.

Ramli didakwa atas tiga pertuduhan CBT membabitkan RM21.08 juta mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan pertama, Ramli didakwa secara curang meluluskan tiga transaksi berbeza berjumlah RM13,541,140 dari 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.

Urus niaga itu didakwa dihantar ke akaun milik Syarikat Setaria Holding Limited di Standard Chartered Bank di Singapura.

Bagi pertuduhan kedua, Ramli didakwa secara curang meluluskan pembayaran - berjumlah RM1,360,716 - kepada JSD Corporation Pte Ltd di Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, di Singapura.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa secara curang meluluskan bayaran berjumlah RM6,182,295 kepada Sousmarin Armada Ltd di Standard Chartered Bank, 6 Battery Road di Singapura antara tarikh 28 Okt 2010 dan 22 Nov tahun sama.

Ketiga-tiga transaksi itu didakwa berlaku tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di BNS, Tingkat 17, Menara Boustead, 69 Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Kejadian itu didakwa berlaku antara 26 Julai 2010 dan 4 Mei 2011.

Pada Ogos 2022, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan lebihan besar dalam kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak LCS bernilai RM9 bilion, dengan RM6 bilion dibayar pada 2020.

Walaupun kerajaan telah membayar jumlah yang begitu besar, tiada satu pun kapal telah disiapkan selepas lapan tahun.

Projek itu dimulakan pada tahun 2014.

Ramli berkhidmat dalam TLDM selama 35 tahun dan dilantik sebagai panglima tentera laut pada Oktober 1996. Dia bersara pada 1998.

Dia kemudiannya dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Boustead Heavy Industries Corp Bhd pada 17 Ogos 2005 sebelum meletakkan jawatan pada 30 Nov 2019.

Kes jenayah itu akan disebut di Mahkamah Sesyen pada Selasa minggu depan.

Ramli yang kini diikat jamin diwakili peguam Mohd Yusof Zainal Abidin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS