Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hak 40% hasil Sabah: K'jaan mohon ketepi kebenaran diperoleh SLS
Diterbitkan:  Jul 25, 2024 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Kerajaan telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan kebenaran yang diberikan kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan isu hak 40 peratus hasil negeri itu seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ketika dihubungi Bernama, berkata permohonan itu difailkan pada 16 Julai lepas.

Beliau berkata beberapa persoalan undang-undang telah dibangkitkan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada keputusan sebarang semakan berhubung Pemberian Khas Sabah adalah perkara dasar yang secara eksklusif adalah dalam domain eksekutif.

Persoalan lain ialah sama ada Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D (Negeri Sabah) 2022 adalah terbuka untuk semakan kehakiman.

Pada 18 Jun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada SLS bagi memulakan semakan kehakiman bagi memaksa 40 peratus hasil persekutuan yang diperoleh dari Sabah dipulangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk P Ravinthran telah mengarahkan Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman itu.

Beliau berkata SLS sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa ia mempunyai locus standi untuk semakan kehakiman kerana ia jelas merupakan litigasi berkepentingan awam yang diambil untuk manfaat orang ramai.

Ravinthran juga berkata isu dalam permohonan semakan kehakiman melibatkan kepentingan Perlembagaan yang tinggi dan ia diambil bagi menunjukkan hak perlembagaan yang diberikan kepada Sabah, seterusnya demi manfaat rakyat.

Pada 11 Nov 2022, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada SLS untuk memulakan semakan kehakiman selepas memutuskan bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah isu berkepentingan awam.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta bagi Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS