Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan mereka dan membantah keras langkah sekolah menerima sumbangan derma daripada syarikat arak.
Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz, berkata tindakan membenarkan sumbangan sedemikian menghantar isyarat berbahaya kepada golongan belia dan menjejaskan usaha menggalakkan gaya hidup sihat.
Katanya, walaupun terdapat keperluan mendesak di beberapa sekolah yang memerlukan sumbangan sebegitu, namun perlu ada garis panduan yang jelas mengenainya.
“Kerajaan mesti memastikan kedua-dua sekolah kebangsaan dan vernakular mendapat sokongan yang baik dengan pembiayaan yang mencukupi.
“Pelaburan dalam pendidikan dan bakat harus menjadi antara keutamaan negara.
“Memang menyedihkan apabila mengetahui banyak sekolah masih kekurangan dana sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan sumbangan daripada sektor swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu tersebut tercetus selepas didapati jenama arab Tiger Beer menjadi salah satu penaja sebuah acara meraih dana anjuran SJK (C) Tche Min in Sungai Pelek di Sepang pada Ahad lalu.
Turut hadir di acara itu adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, Exco Selangor Ng Suee Lim dan Adun Sungai Pelek Lwi Kian Keong.
Ekoran daripada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia memberitahu mereka akan menyiasat perkara tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pula mengecam pembangkang khususnya PAS Selangor kerana menganggap parti itu sengaja memutarbelitkan fakta bagi menghasut emosi masyarakat Melayu.
Aiman sudah memohon maaf selepas dia dilihat memegang replika cek berlogo syarikat kilang bir itu dan menegaskan sebagai pemimpin, dia tidak boleh mengabaikan hak masyarakat lain.
Perlu perkasakan pelajar
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil semalam dilaporkan berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan menjelaskan isu tersebut selepas ia dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet.
Dimaklumkan terdapat pengecualian syarat untuk sekolah vernakular mendapatkan derma daripada syarikat swasta.
Mengulas lanjut Azizan berkata pengaruh alkohol dan tembakau terhadap minda golongan remaja tidak boleh dipandang remeh.
Katanya, dengan menerima sumbangan daripada industri terbabit meletakkan sekolah berisiko menormalisasikan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan pelajar, sekali gus menjejaskan usaha untuk memupuk tabiat baik dan gaya hidup sihat dalam kalangan mereka.
“Pendidikan harus memperkasakan pelajar, bukan mendedahkan mereka kepada tingkah laku yang boleh membawa kepada ketagihan dan isu kesihatan yang berkaitan di kemudian hari,” tambahnya.
Justeru, Azizan menyeru institusi pendidikan mematuhi mana-mana garis panduan sedia ada yang melarang pembiayaan daripada syarikat tembakau dan alkohol.
“MMA menggesa penggubal dasar, pemimpin sekolah dan masyarakat untuk menegakkan piawaian kritikal ini yang melindungi persekitaran pendidikan kita daripada pengaruh industri berbahaya.
“Sekolah harus menjadi tempat yang menggalakkan kesejahteraan dan memupuk anggota masyarakat yang produktif, bukannya arena untuk tabiat tidak sihat berakar umbi,” kata Azizan.