Nota editor: Artikel ini dipinda pada 9 Ogos 2024, dengan membuang nama kanak-kanak itu.
Keluarga kanak-kanak yang diculik di Iskandar Puteri pada Sabtu lepas tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kelima-lima suspek yang ditahan bagi membantu siasatan tersebut.
Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata ibu bapanya itu juga tidak mengenali suspek kelima yang ditahan polis bersama anak mereka di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor pada Selasa lalu.
“Tiada sebarang perkenalan atau hubungan antara keluarga dengan kelima-lima suspek termasuk yang ditangkap bersama mangsa.
"Bagaimanapun, motif penculikan dan hubungan antara kesemua suspek masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Kumar berkata reman terhadap empat dua lelaki dan dua wanita berumur 28 hingga 55 tahun itu akan tamat esok dan jika tiada keperluan keempat-empat mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis.
Reman bagi suspek kelima iaitu lelaki berumur 31 tahun yang ditangkap bersama mangsa pula akan tamat pada Isnin depan dan proses siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Berhubung pakaian suspek kelima yang mengenakan baju festival Bon Odori Johor ketika ditahan, Kumar berkata perkara itu tidak menunjukkan lelaki terbabit merupakan seorang peniaga di program berkenaan.
Katanya baju sebegitu boleh dibeli oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke festival tersebut.
Ditanya sama ada terdapat tangkapan baru atau tidak, Kumar berkata masih terlalu awal untuk memuktamadkan perkara itu memandangkan proses siasatan masih berjalan.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang selalu memberi maklumat dan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia khususnya kepada polis Johor untuk kita sama-sama memastikan Johor kekal selamat bagi semua pihak,” kata Kumar.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilaporkan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-berusia enam tahun itu yang disedari hilang oleh bapanya di sebuah pusat beli-belah pada jam 8.30 malam.
- Bernama