Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas yakin Malaysia makin faham kepentingan industri nadir bumi

Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Rare Earths Ltd, Amanda Margaret Lacaze berkata pertemuan bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Australia pada Mac lalu membuka ruang kepada syarikat itu terus berkembang di Malaysia. 

Dia berkata, dalam pertemuan sempena lawatan rasmi Anwar itu juga, kerajaan Malaysia memahami kepentingan pembangunan sektor nadir bumi dalam teknologi canggih seperti kenderaan elektrik dan kapasitor mikro. 

"Sudah pasti ia menjadi pelonjak kepada perkembangan Lynas di Malaysia dan kami sudah memulakan kerja pengembangan kilang di Gebeng untuk tujuan itu. 

"Pihak Lynas memperuntukkan RM500 juta bagi kerja menaik taraf dan membesarkan operasi kilang kami, dengan semua kerja itu akan siap dan boleh memulakan operasi hujung tahun depan," katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang, hari ini. 

Mac lalu, Anwar ketika dalam rangka lawatan kerja ke Australia mengadakan perbincangan meja bulat bersama pemimpin syarikat dan eksekutif tertinggi 18 syarikat negara itu yang melabur di Malaysia. 

Anwar turut mengadakan pertemuan empat mata untuk mendengar pandangan mereka, termasuk dengan Amanda dan Naib Presiden Lynas Malaysia, Mashal Ahmad.

Ketika diminta berkongsi mengenai cabaran dan perancangan seterusnya Lynas selepas lebih 10 tahun bertapak di Malaysia, Amanda memberitahu tekanan politik adalah antara perkara yang sangat menguji perjalanan operasi kilang berkenaan. 

"Kita berdepan banyak cabaran terutamanya dalam perubahan politik yang berlaku di Malaysia sejak 10 tahun lalu, namun kami berjaya melaluinya walaupun sukar. 

"Saya seorang yang optimistik, jadi saya fikir kami mampu mengubah pandangan orang ramai terhadap Lynas secara perlahan-lahan. 

"Ia bukan mudah, tapi kami percaya kerajaan Malaysia juga mahukan yang terbaik untuk rakyat mereka dan itu sedang Lynas lakukan di sini," jelasnya. 

Dalam pada itu, Amanda memaklumkan proses pembesaran kilang sedia ada di Gebeng, dekat Kuantan adalah bagi memulakan pengeluaran dua produk nadir bumi berat (HRE) yang dipisahkan menjelang 2025.

Jelasnya, ia adalah satu anjakan strategik oleh Lynas dalam memperluaskan penawaran produk melangkaui nadir bumi ringan untuk memasukkan disprosium dan terbium, komponen utama dalam teknologi kenderaan elektrik dan kapasitor mikro.

"Usaha ini didorong oleh litar pengekstrakan pelarut yang baru dikonfigurasikan di Lynas Malaysia, bertujuan untuk memisahkan disprosium dan terbium dari sebatian HRE campuran semasa. 

"Dengan anggaran perbelanjaan modal A$25 juta, projek itu adalah sebahagian daripada Pelan Perindustrian Lynas Malaysia dan dijangka menerima pentauliahan dan peningkatan menjelang pertengahan 2025," katanya.

Namun, dia menegaskan proses pembesaran kilang dan peningkatan operasi Lynas tidak akan mengabaikan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk di sekitar kawasan itu. 

Amanda turut memberi jaminan peningkatan operasi membabitkan HRE di fasiliti terbaharu mereka akan memberi manfaat kepada vendor tempatan. 

"Selama ini pun kita mengutamakan syarikat vendor tempatan dan 80 peratus daripadanya adalah syarikat rakyat Malaysia," katanya. 

Dalam pada itu, Naib Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas Malaysia, Mimi Afzan Afza berkata, pihaknya menyedari masih ada gerakan tertentu yang cuba mencipta persepsi negatif terhadap operasi kilang memproses nadir bumi berkenaan. 

"Gerakan itu masih ada, masih berlaku dan kita tidak boleh menghentikan mereka. 

"Cuma selepas 10 tahun Lynas beroperasi, banyak dakwaan dibuat kumpulan terbabit seolah-olah tidak berlaku, seperti kesan radiasi dan penurunan nilai hartanah di kawasan Gebeng. 

"Sebaliknya kita boleh nampak kawasan di Gebeng, terutamanya nilai hartanah makin meningkat setiap tahun... begitu juga dengan pembangunan di kawasan sepanjang laluan ke Gebeng juga sangat rancak," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS