Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebuh raya Lingkaran Tengah Utama siap 63 peratus 
Diterbitkan:  Jul 25, 2024 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Sebanyak 63.35 peratus daripada hampir 300 kilometer (km) laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong, Pahang dengan Kuala Krai, Kelantan telah siap.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sehingga 10 Julai lepas terdapat kelewatan sebanyak 0.39 peratus daripada 63.74 peratus yang dijadualkan setelah mengambil kira lanjutan masa (EOT) diluluskan.

"Projek LTU yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 2008 adalah tertakluk kepada kelulusan agensi pusat dengan 11 projek telah siap, 14 dalam pembinaan dan satu dalam proses perolehan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai status kelewatan projek LTU atau dahulunya dikenali Central Spine Road (CSR) dan langkah mengurangkan kelewatan.

Nanta berkata bagi Pakej 1 dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, kemajuan semasa telah mencapai 11.59 peratus; Pakej 2 dari Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang (22.40 peratus); Pakej 3 dari Gua Musang ke Kampung Relong (84.25 peratus); Pakej 4 dari Kampung Relong ke Raub (63.69 peratus); Pakej 5: Raub ke Bentong telah dibuka kepada pengguna; dan Pakej 6 dari Bentong ke Persimpangan LPT (30.07 peratus).

"Setiap isu berbangkit seperti pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, pengurusan trafik, kekurangan tenaga kerja, keadaan cuaca tidak menentu dan kenaikan harga barang dapat diatasi sebaik mungkin mengikut amalan terbaik pengurusan pembinaan serta mematuhi garis panduan dan peraturan semasa yang berkuat kuasa," katanya.

Sementara itu, Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) mempunyai perancangan untuk menaik taraf kawasan Koridor Timur Barat khususnya Pasir Puteh, Kelantan ke Gerik, Perak dan Simpang Pulai, Aring ke Kenyir, Terengganu menerusi Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 (HNDP 2030).

Beliau berkata antara projek naik taraf yang dirancang adalah FT004 dari Kupang, Kedah ke Tanah Merah, Kelantan sejauh 204km; FT004 dari Pasir Puteh ke Machang – Jeli sejauh 46.3km; FT185 dari Simpang Pulai, Aring ke Gua Musang sejauh 94km; serta FT1744/FT185 dari Chiku, Kelantan ke Basung, Terengganu sejauh 39km.

Beliau turut memaklumkan agensi pusat telah meluluskan Rolling Plan Ketiga (RP3) dan Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk projek itu.

"Untuk RP3 ia melibatkan naik taraf laluan dari Kampung Pak Badol Ke Kampung Banir Belikong di Pasir Puteh serta menggantikan dua jambatan di Jeli. RP4 pula adalah menaik taraf Lebuh Raya Timur Barat dari Seksyen 113 Ke Seksyen 151 di Gerik, Perak.

"Selain itu, terdapat projek yang telah diluluskan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi laluan FT482 Jalan Pasir Puteh - Tok Bali bagi skop pengambilan tanah dalam RMK-12," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS