Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Jangan bagi sumber berisiko pencemaran beroperasi di hulu sungai
Diterbitkan:  Jul 25, 2024 12:21 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Pakar kualiti dan permodelan air Prof Zaki Zainudin berkata, gangguan bekalan air baru-baru ini yang disebabkan oleh pencemaran adalah bukti bahawa kita tidak sepatutnya mempunyai sumber berisiko tinggi untuk pencemaran di lokasi hulu sungai.

Dalam catatan di Facebook, dia berkata bahawa ini adalah kritikal untuk melindungi kawasan tadahan.

"Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa sumber pencemaran berisiko tinggi tidak boleh dibenarkan di hulu saliran air, terutamanya salur masuk utama.

“Ini selari dengan konsep ‘perlindungan tadahan’,” kata Zaki.

Dia turut menolak alasan gangguan bekalan air akibat pencemaran juga berlaku di negara lain dan berkata penerimaan naratif sebegitu hanya menyebabkan langkah lebih ke belakang.

“Adakah pihak-pihak ini cuba membayangkan bahawa masyarakat umum Malaysia harus belajar hidup dengan gangguan air akibat pencemaran dan pihak berkuasa/kerajaan harus menerima gangguan air akibat pencemaran sebagai fakta yang tidak dapat dielakkan?

“Daripada menerima naratif yang berbelit seperti itu, kita harus melihat contoh bagaimana sesetengah negara berjaya melindungi kawasan tadahan air mereka dengan berkesan, kerana mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Tambah Zaki, pandangan sebegitu malah mungkin melepaskan tanggungjawab banyak pihak yang terlibat dalam perlindungan tadahan dan bekalan air.

Pada Khamis, Jabatan Air Selangor menutup sementara empat loji rawatan air di negeri itu berikutan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa lokasi.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar mendedahkan bahawa pencemar yang didakwa adalah kilang memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Orang Asli Jalan Kampung di Kuang, Rawang.

Exco Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kilang yang didakwa bertanggungjawab terhadap pencemaran yang menyebabkan gangguan air di Lembah Klang masih dalam siasatan, walaupun selepas Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menggantung lesen kilang dan mendenda pemiliknya RM1,000.

“Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas) sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999, di mana mereka yang terlibat boleh didenda antara RM200,000 dan RM1 juta serta penjara tidak lebih tiga tahun.

“Jabatan Alam Sekitar turut menahan dua individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang membawa hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta, ” katanya awal hari ini.

Tambah Jamaliah, agensi terbabit akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk memutuskan tindakan susulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS