Tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan khabar angin perbincangan antara pemimpin PAS dan Umno bagi membentuk kerjasama dalam PRU akan datang, kata pemimpin PH.
Beberapa pemimpin PH yang dihubungi Malaysiakini berkata pertemuan antara pemimpin parti politik, khususnya dengan pihak yang dianggap sebagai seteru, adalah perkara biasa.
Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof berkata parti politik dalam negara ini bebas untuk bertemu dengan mana-mana pemimpin parti lain dan pertemuan itu tidak semestinya hanya berkisar soal kerjasama.
"Pertemuan juga dibuat berhubung isu negara yang lain, yang melibatkan kepentingan negara atau ummah.
"Saya sentiasa mengimani (perbincangan) rentas parti adalah perkara biasa untuk membincangkan perkara besar melibatkan negara. Kita tiada halangan," katanya.
Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas jika PH bimbang dengan dakwaan berlakunya pertemuan antara PAS dan Umno bagi membincangkan soal kerjasama dalam PRU akan datang.
Perkara itu ditimbulkan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada 22 Julai lalu, yang antaranya mendakwa beberapa pertemuan tidak rasmi telah diadakan melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti bagi "menyatukan kembali undi Melayu".
Fadhli mendakwa, dalam satu pertemuan itu, seorang pemimpin Utama Umno meluahkan rasa serba salah bekerjasama dalam kerajaan yang didakwa merugikan dan mengharapkan Umno dapat kembali bekerjasama dengan PAS.
"Cuma mereka tidak berani ingin melawan apa yang diputuskan presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi),” dakwanya.
Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata tiada perbincangan berkenaan kerjasama antara Umno dan PAS dan jika pun ada pertemuan, ia dibuat secara tidak rasmi.
Pada 8 Julai lalu, Zahid juga telah menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu, kerana menurutnya kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional sebelum ini "dikhianati" PAS.
'Perlu lebih telus'
Mengulas lanjut, Mujahid berpandangan perkara itu ditimbulkan PAS dengan tujuan memecah-belahkan hubungan parti dalam kerajaan perpaduan.
“Tapi (dakwaan pertemuan) itu pun satu pihak saja yang timbulkan. Dia (PAS) yang maklumkan dan kita tak tahu apa motif dia memaklumkan perkara itu (kepada umum).
“Kalau ia bertujuan untuk pecah-belahkan (kerajaan) perpaduan itu memang kerja parti politik macam PAS. Tapi jika pertemuan untuk bincang soal yang lebih besar, kami tak ada halangan," katanya lagi.
Namun, katanya lagi, pemimpin PAS sepatutnya bersikap lebih telus jika pertemuan itu dibuat atas kepentingan negara.
"Saya tak tahu apa motif Fadhli mendedahkan pertemuan itu. Kalau ia berkenaan perkara lebih besar, harus telus dan beritahu apa yang dibincangkan. Bukan sekadar lontar (kata) ada pertemuan," katanya lagi.
Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim pula berpandangan timbulnya isu tersebut menandakan wujudnya perpecahan ketara dalam PN.
“Orang politik bertemu (parti lawan) adalah perkara biasa, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Cuma cakap-cakap begini hanya mengesahkan wujudnya perpecahan ketara dalam PN.
“Bersatu kini dilihat sebagai biawak hidup kepada PAS. Manakala PAS pula terbelah kepada dua kumpulan, dengan ada kelompok yang ingin merintis jalan bersama kerajaan perpaduan.
“Namun hasrat itu mencabar kerana bimbang 'dilaknat' oleh kumpulan yang menganut politik garis keras. Politik kebencian melampau yang dimainkan kini mula kurang disenangi oleh kelompok ini (yang ingin merintis kerjasama dengan kerajaan)," katanya.
'Dibuat kumpulan tolak presiden Umno'
Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pual berkata dia tidak menolak jika pertemuan untuk membincangkan kerjasama itu benar-benar berlaku, tetapi kemungkinan hanya melibatkan pemimpin Umno yang menolak kepimpinan Ahmad Zahid.
Katanya lagi, ia juga mungkin dibuat atas sebab PAS mula hilang keyakinan terhadap Bersatu - rakan komponennya dalam PN selain Gerakan.
“PAS sudah tidak yakin dengan Bersatu tapi tahu yang mereka tidak boleh bergerak solo, mesti ada kerjasama dengan parti lain.
"Umno (pula) dah ada pengalaman kerjasama ini, sama ada melalui Muafakat Nasional atau ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob. Kedua-duanya merugikan Umno," kata Adun Tras itu lagi.
Namun, dia berkata DAP tidak masuk campur dengan urusan parti lain dan pada masa sama tidak menolak jika parti pembangkang ingin bekerjasama dengan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik dan ekonomi.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Syahredzan Johan menegaskan komitmen Umno sebagai parti dalam kerajaan perpaduan tidak perlu diragui.
“Pemimpin Umno termasuk Ahmad Zahid dan setiausaha agungnya Asyraf Wajdi telah menafikan dakwaan Fadhli. Jadi komitmen Umno kepada kerajaan perpaduan tidak perlu diragui lagi.
“Saya tak risau dan kerajaan tak perlu terganggu dengan khabar angin, sebaliknya fokus kepada mengembalikan ekonomi ke landasannya," katanya sambil menambah hubungan antara parti dalam kerajaan, sama ada di peringkat tinggi mahupun akar umbi, semakin kukuh.
Pada masa sama, Syahredzan yang juga ahli Parlimen Bangi mendakwa hubungan PAS dan Bersatu yang goyah pada masa ini.
"Saya lihat ini propaganda sahaja dan perang psikologi oleh Fadhli untuk alih tumpuan daripada masalah PN dan menimbulkan syak wasangka dalam kerajaan," katanya.
Jika memang benar perbincangan itu wujud, dia berpendapat ia hanya dibuat secara peribadi dan bukan secara rasmi.
Pandangan sama turut disuarakan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli, yang yakin perbincangan itu, jika memang berlaku, bukan dibuat atas arahan kepimpinan tertinggi Umno.
“Dalam politik ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan kita tak boleh halang orang daripada berjumpa antara satu sama lain.
“Dan jika ada perjumpaan sekali pun, ia mungkin di peringkat individu atau kumpulan dalam parti berkaitan dan bukan atas persefahaman atau arahan kepimpinan.
"Setakat ini, kita tak ada bincang atau bangkitkan isu tersebut dan saya pun tidak ada makluman dalaman mengenainya,” katanya lagi.