Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes seleweng dana RM270,000, SPRM tahan CEO bergelar profesor

Seorang CEO sebuah syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi bergelar profesor ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana syarikat berjumlah RM270,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan sekitar jam tujuh malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Sumber itu berkata susulan penahanan terbabit, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Julai telah dikeluarkan oleh majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan wang berjumlah kira-kira RM270,000 untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang dan membeli kereta serta perbelanjaan peribadi yang lain.

“Suspek juga disyaki mengarahkan kakitangan syarikat menyediakan surat untuk bayaran gaji berjumlah kira-kira RM12,000 sebulan sejak Mac 2023 sedangkan surat pelantikan suspek sebagai CEO hanya melayakkannya menerima lima peratus daripada keuntungan tahunan syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS