Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas COO HRD Corp dakwa dipecat kerana lantang bersuara

Bekas ketua pegawai operasi (COO) HRD Corp Ariff Farhan Doss mendakwa dia membangkitkan beberapa isu dalam syarikat itu sebelum dipecat.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Ariff berkata dia  membangkitkan kebimbangan mengenai perbelanjaan dan keputusan berhubung pembelian bangunan dengan sekurang-kurangnya tiga pengarah sejak 2022.

"Saya membangkitkan kebimbangan mengenai cara perbelanjaan dibuat, termasuk keputusan mengenai pembelian bangunan," katanya.

Ariff secara khusus menentang pembelian bangunan untuk ibu pejabat syarikat itu di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Saya menentangnya kerana bangunan itu di kawasan perumahan. Apabila saya membangkitkan kebimbangan dengan para pengarah, perkara itu telah dibawa ke perhatian ketua eksekutif. Dia tidak berpuas hati,” tambahnya.

Pembelian itu akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Menurut Ariff, dia sentiasa bercakap mengenai isu dalam HRD Corp dan percaya dia seorang sahaja yang berani berbuat demikian kerana senioritinya.

“Dalam surat tunjuk sebab yang dihantar kepada saya, antara sebab yang dinyatakan adalah kerana saya cuba mempengaruhi lembaga pengarah terhadap pengurusan HRD Corp,” katanya.

Dakwaan pemecatan tidak adil ke atas Ariff telah difailkan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan tetapi masih belum selesai. HRD Corp enggan menghadiri proses meditasi, atas alasan sebagai badan berkanun, ia tidak diwajibkan untuk mematuhi Akta Pekerjaan.

HRD Corp menjadi tumpuan selepasia  gagal audit oleh Jabatan Ketua Audit Negara, yang mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk syarikat itu kepada agensi penguatkuasaan.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen awal bulan ini juga mendapati HRD Corp menggunakan RM3.77 bilion levi majikan untuk pelaburan yang tidak berkaitan dan bukannya bagi tujuan program latihan.

Kementerian Sumber Manusia kemudian melaporkan perkara itu kepada SPRM, yang membawa kepada pembentukan pasukan penyiasat khas.

Shahul Hameed Shaik Dawood

Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Shahul Hameed Shaik Dawood diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan SPRM.

Berikutan pemecatan Ariff, tiga pengarah - Rosli Yaakub, Palaniappan Joseph, dan Grace Chia Hui Yen - turut disingkirkan, tetapi Rosli dan Palaniapan kemudiannya dilantik semula.

"Sehingga kini, Chia tidak pernah dipanggil balik kerana dia sangat lantang," tambahnya.

Rosli adalah wakil Kementerian Kewangan, Palaniappan dari Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), dan Chia adalah wakil Persatuan PKS Malaysia.

Rosli juga pernah memberi keterangan kepada PAC bahawa Shahul mengelirukan lembaga pengarah mengenai inisiatif Pasport Kemahiran, yang menyebabkan Kementerian Kewangan meluluskan projek itu.

Rosli Yaakub

Menurut Rosli, Shahul memasukkan slaid mengenai inisiatif itu dalam "taklimat CEO" kepada lembaga pengarah. Selepas pembentangan, minit mesyuarat menyatakan lembaga pengarah meluluskan inisiatif tersebut.

Rosli kemudian menghantar surat untuk mempertikaikan bahawa Pasport Kemahiran telah mendapat kelulusan lembaga pengarah. Keterangannya disokong oleh Palaniappan.

Bekas ahli lembaga pengarah Chia juga memberi keterangan kepada PAC bahawa pelaburan HRD Corp dalam derivatif opsyen adalah sangat berisiko dan boleh "menjejaskan keseluruhan pelaburan".

Malaysiakini telah menghubungi semua individu yang dinamakan oleh Ariff dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Tiada maklum balas menteri

Sementara itu, di sebalik laporan media, Ariff berkata Menteri Sumber Manusia Steven Sim masih belum menjawab permintaan beberapa mesej sejak 11 Julai yang mahu pertemuan diadakan.

Ini selepas dia mendakwa dirinya disekat daripada berjumpa dengan Sim dan bekas menteri V Sivakumar.

Sim sekadar memberitahu bahawa dia tidak mengetahui ada sesiapa yang cuba menghalang pertemuan dengannya atau pengurusan atasan kementerian. Dia meminta mereka yang ingin berjumpa dengannya agar bersabar dan mendapatkan temu janji.

Steven Sim

Sivakumar pula sekadar menjawab "Tidak" kepada Malaysiakini apabila ditanya jika dirinya menyedari dakwaan Ariff dan tidak menjawab soalan mengenai pertemuan dengan Ariff semasa dia menjadi menteri.

Sim menggantikan Sivakumar berikutan rombakan kabinet tahun lalu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS