Pelajar Malaysia yang selamat pulang hari ini menyuarakan rasa lega setelah selamat daripada ketegangan di Bangladesh.
Ditemui pemberita sebaik tiba di KLIA2 di Sepang petang tadi, mereka mengimbas Kembali saat-saat mendebarkan ketika keluar dari Dhaka, ibu kota negara itu.
Syazanna Amira, 28, menceritakan perjalanan ke lapangan terbang yang penuh mendebarkan, dengan bas terbakar di jalanan serta amaran yang disuarakan penduduk tempatan.
"Tuan rumah beritahu agar kami balik ke negara kami kerana rusuhan kali ini bukan seperti yang sebelumnya... kini bukan lagi polis yang mengawal keadaan tetapi tentera, jadi mereka akan tembak siapa saja yang keluar dan berkumpul di satu tempat.
"Sepanjang perjalanan kami boleh lihat bas terbakar. Kami tengok begitu banyak bukti dalam perjalanan ke lapangan terbang Dhaka," kata pelajar perubatan itu.
Syazanna adalah antara lebih 120 pelajar di Bangladesh yang selamat pulang hari ini, susulan rusuhan pelajar di sana berhubung sistem kuota bagi pengambilan dalam perkhidmatan awam di negara itu.
Tiada khidmat komunikasi
Menurut CBS News, jumlah korban setakat ini hampir mencecah 180 nyawa, dengan lebih 2,500 perusuh telah ditahan.
Mengulas lanjut, Syazanna berkata keadaan pantas memburuk dengan perkhidmatan telefon dan internet disekat, menyebabkan pelajar terputus hubungan.
"Orang tempatan beritahu kami yang bila pukul 10 pagi, tak ada internet langsung. Pukul 11 pagi, data pula tak ada, dan pada pukul 10 malam, wifi juga dipotong."
Tanpa khidmat telekomunikasi, pelajar terpaksa bergantung kepada kedutaan Malaysia untuk sebarang maklumat dan panduan.
Syazanna berkata dia bergilir dengan teman serumahnya untuk menjawab panggilan daripada Pejabat kedutaan.
Selain komunikasi, Syazanna berkata sistem bayaran atas talian dan ATM juga tidak dapat diakses, menyebabkan ramai pelajar tiada wang untuk mendapatkan barangan keperluan.
Katanya, beberapa rumah kawannya terpaksa bergelap kerana mereka tidak dapat membayar bil elekrik prabayar secara dalam talian.
"Ada yang tiada elektrik selama tiga hari dan terpaksa tinggal di rumah kawan," katanya lagi.
Kelegaan pelajar Malaysia begitu jelas terasa apabila mereka kembali bersatu dengan keluarga yang menunggu ketibaan di lapangan terbang.
Antaranya dua beradik yang mengambil jurusan perubatan, Muhammad Alif Hazim Abdul Shukor and Muhammad Alif Haziq Abdul Shukor. Mereka menceritakan kesukaran untuk menghubungi keluarga di Kuala Lumpur.
"Tiada internet, wifi. Pada mulanya kami tak dapat hubungi sesiapa langsung. Hari kedua baru saya dapat hubungi ibu, namun (komunikasi) memang teruk, (suara) tak jelas," katanya yang jelas penuh emosi.
Haziq pula berkata mereka menggunakan segala cara yang ada untuk berkomunikasi.
"Kalau tak dapat telefon, kami cuba SMS," kata pelajar tahun akhir itu.
Ibu meraka, Nor Hamimi Harun berkata dia bersyukur apabila kedua-dua anaknya tiba dengan selamat.
Katanya, dia cuba menelefon anaknya setiap enam jam sejak beberapa hari lalu untuk memastikan mereka selamat.
"Saya gembira dapat peluk anak-anak saya semula," katanya lagi.