Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Tiada masalah salam tangan makan babi
Diterbitkan:  Jul 23, 2024 8:30 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

"Tangan makan rasuah, tangan langgar janji dengan rakyat, tangan tipu rakyat lebih hina dari tangan makan babi," kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Dia membidas "kenyataan melalut" Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu yang mendakwa PAS sebagai hipokrit.

"Ini dah melalut sampai isu tangan makan babi. Orang persoalkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menteri pun dah keluarkan kenyataan tiada pengecualian. Apa pula kaitan dengan tangan makan babi ni?

"Untuk makluman, tiada masalah bersalam dengan tangan makan babi, tiada hukum yang kata tak boleh, bersalamlah asalkan bukan berlainan jantina yang bukan mahram," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu hari ini, Aiman yang juga Ahli Parlimen Sepang menyifatkan PAS hipokrit kerana mengkritiknya menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat arak.

Sedangkan, kata Aiman atau nama sebenarnya Raj Munni, pemimpin PAS sebelum ini tidak pula mempunyai masalah bersalam dengan orang bukan Islam yang sedang minum arak atau makan babi.

“Masa kempen itu, dia kalau orang tengah minum arak pun tak apa. Makan babi pun tak apa.

“Baru lepas makan babi salam pun tak apa. Hipokrit,” katanya dalam wawancara bersama Naib Ketua Pemuda Amanah Zulhazmi Hassan yang juga YouTuber dikenali sebagai Jeming.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata Aiman tidak perlu melatah dengan kontroversi itu, memadai dengan mengemukakan permohonan maaf.

"Saya rasa yang paling baik ialah timbalan menteri nyatakan bahawa ‘saya minta maaf, saya tak perasan ada promosi dari syarikat arak Tiger dalam majlis itu’, selesai," katanya.

Ahad lalu, acara anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang terpalit kontroversi selepas Tiger Beer menjadi salah satu penajanya.

Aiman, bersama exco kerajaan tempatan Selangor Ng Suee Lim merasmikan acara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS