Paling Popular
Terkini

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pertemuan mahupun perbincangan antara parti itu dengan PAS bagi membentuk kerjasama dalam pilihan raya.

Malah, Ahmad Zahid berkata dia secara peribadi tidak bertemu dengan mana-mana pemimpin parti musuh tradisi mereka itu.

“Mereka (PAS) tidak berjumpa dengan saya,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata wujud perbincangan antara parti itu dan Umno bagi membincangkan kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang.

Sekeping lukisan memaparkan Zahid dan Hadi yang pernah tergantung di bangunan Umno ketika era Muafakat Nasional, gambar hiasan

Dakwanya, be­berapa siri pertemuan tidak rasmi diadakan membabitkan pe­mimpin utama kedua-dua parti yang antara lain bagi “menyatukan kembali undi Melayu”.

Fadhli mendakwa pemimpin utama Umno itu meluahkan rasa serba salah bekerjasama dalam kerajaan yang didakwa merugikan.

“Dan dalam pertemuan itu, mereka mengharapkan agar kerjasama bersama dengan PAS dapat bersatu kembali, cuma mereka tidak berani ingin melawan apa yang diputuskan Presiden Umno,” katanya.

Bagaimanapun, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, jika ada pun pertemuan, ia bukan secara rasmi.

“Jika ada pun mungkin itu pendekatan yang dibuat secara peribadi, bukan secara rasmi,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Zahid menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama semula dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden.

Katanya, dia berpendirian demikian susulan kerjasama sebelum ini dalam Muafakat Nasional (MN) “dikhianati” oleh PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS