Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pengecualian bagi garis panduan derma sekolah
Diterbitkan:  Jul 23, 2024 3:31 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Dia berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun ia mesti mengikut garis panduan kementerian.

"Jadi nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut.

"Dan juga sekolah mesti memastikan bahawa tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita di Selayang hari ini.

Ditanya sama ada terdapat pengecualian untuk sekolah vernakular mendapatkan derma daripada syarikat swasta, Fadhlina mengulangi pentingnya mematuhi garis panduan itu.

Mengenai MCA yang menyatakan bahawa semua sekolah harus menerima pembiayaan kerajaan yang sama jika terdapat kebimbangan mengenai sumber pembiayaan, menteri itu merujuk kepada dasar sedia ada.

“MCA kena tengok balik apa peraturan dan dasar polisi yang telah berjalan. Dia mesti tahu apa kategori-kategori sekolah. Jadi pembiayaan sama rata itu maknanya mesti balik kepada polisi sedia ada,” tambahnya.

Menjawab soalan lain jika garis panduan itu akan dikaji semula, Fadhlina berkata: "Garis panduan itu kekal."

"Sekali lagi saya tegaskan sekolah milik masyarakat. Kita alu-alukan semua sumbangan tetapi garis panduan itu yang akan kita bantu. Termasuk pihak-pihak yang ingin memberikan sumbangan itu supaya ia selaras dengan garis panduan kita," tambahnya.

Semalam, Kementerian Pendidikan berkata ia sedang menyiasat dakwaan bahawa sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol.

Kementerian juga mengingatkan pentadbir sekolah supaya mengikut garis panduan sedia ada.

Mengulas siasatan itu, Fadhlina menyifatkan ia lebih sebagai "memberi panduan" bagi memastikan garis panduan itu telah dipatuhi.

Pekeliling itu berkuat kuasa pada Mac 2018 apabila BN menjadi kerajaan. Sekolah Cina telah menerima pembiayaan daripada pelbagai sumber, termasuk kilang bir, selama beberapa dekad.

Kontroversi semasa timbul susulan acara kutipan dana untuk sekolah vernakular yang telah berlangsung sejak 30 tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS