Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Nota editor: Artikel ini dipinda pada 9 Ogos 2024, dengan membuang nama kanak-kanak itu.


Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di Iskandar Puteri pada Sabtu lalu ditemui hari ini.

Ketua Polis Johor M Kumar memberitahu media, dia ditemui selamat di kawasan Batang Kali, Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 4 pagi tadi.

Katanya kanak-kanak berkenaan ditemui di sebuah hotel murah di bandar tersebut.

Katanya seorang suspek juga ditahan dan sudah dibawa ke Johor untuk disoal siasat, manakala kenderaan yang digunakan untuk melarikan Leo disita.

“Selain tangkapan ini, polis juga membuat tangkapan ke atas dua lelaki dan dua perempuan semalam untuk membantu siasatan.

“Siasatan dialankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan sek 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial pagi ini.

M Kumar

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang dari sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Polis sejak itu mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai culik selepas tiga suspek ditahan pihak berkuasa semalam.

Menurut Kumar suspek yang ditahan awal pagi tadi merupakan lelaki tempatan berusia 31 tahun dan tiada sebarang hubungan dengan mangsa.

Malah, Kumar memberitahu semua lima suspek yang sudah ditahan polis tidak mempunyai sebarang pertalian dengan kanak-kanak terbabit.

“Motif kejadian ini masih dalam siasatan sebab suspek baru ditahan awal pagi ini dan akan dibawa untuk mendapatkan perintah reman.

“Selepas itu barulah siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.

Tambah Kumar, secara fizikal Leo didapati tidak mengalami sebarang kecederaan namun kanak-kanak tersebut sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

Katanya suspek berusia antara 30-an hingga 40-an.

“Keluarga mangsa tidak menerima sebarang panggilan atau tuntutan pampasan,” katanya.

Polis juga, katanya, mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga mengganggu siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu mengenai kejadian ini dengan niat untuk mengganggu emosi keluarga mangsa dan mencetuskan kegentaran awam,” katanya.

Terdahulu penemuan kanak-kanak itu disahkan polis pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberitahu Malaysiakini budak perempuan terbabit ditemui di sekitar Batang Kali, Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS