Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS cuba cetuskan ketegangan kaum dengan derma kilang arak'
Diterbitkan:  Jul 23, 2024 9:31 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Dua kumpulan pendidikan Cina mengecam Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar yang didakwa cuba mencetuskan ketegangan kaum dengan menjadikan acara mengumpul dana untuk sekolah vernakular Cina sebagai modal politik.

Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong) dan Persatuan Guru Sekolah Cina Bersatu (Jiao Zong) berkata sasaran sebenar serangan Sukri adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ahli Parlimen Sepang Amanah, Aiman ​​Athirah Sabu.

“Kami meluat dengan tingkah laku oportunistik ini, yang bertujuan untuk menyerang pesaing politik dengan mengorbankan hubungan etnik Malaysia,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Mengenai pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa ia akan menyiasat isu itu, kedua-dua kumpulan menggesa pihak berkuasa untuk bersikap profesional dan rasional, dan tidak terpengaruh dengan retorik politik.

Ini terutamanya berhubung kenyataan kementerian yang mengingatkan semua sekolah bahawa garis panduan sedia ada yang melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya,  kata kedua-dua kumpulan yang secara kolektif dikenali sebagai Dong Jiao Zong.

“Kami percaya kementerian perlu menjelaskan perkara ini bagi mengelak usaha mengumpul dana untuk sekolah rendah Cina terganggu.

“Perlu diingatkan bahawa sekolah Cina telah lama menghadapi isu seperti bangunan usang, infrastruktur yang tidak mencukupi, dan kekurangan dana.

“Sejak 30 tahun lalu, (syarikat kilang bir itu) dan individu yang bermurah hati telah mengumpul lebih ratusan juta ringgit untuk ratusan sekolah Cina di seluruh negara.

"Sikap bermurah hati ini, yang memberi manfaat kepada ramai pelajar, harus dipuji, bukan diputarbelitkan untuk mewujudkan konflik perkauman dan merosakkan keharmonian sosial," kata mereka.

Dong Jiao Zong menambah bahawa adalah perkara biasa bagi kebanyakan perniagaan untuk mempunyai inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk menyokong pendidikan.

“Selagi syarikat itu sah dan (derma) tidak bersyarat, semua pihak harus mengalu-alukan usaha tanggungjawab sosial mereka untuk membantu pelbagai jenis sekolah.

“Kerajaan juga harus berfikiran terbuka dan menggalakkan sumbangan korporat kepada masyarakat,” kata kenyataan itu.

Sukri pada 19 Julai lalu mengkritik Konsert Amal Pendidikan Cina yang dianjurkan di SJK (C) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang, pada 14 Julai lalu.

Malah dia juga memperlekehkan tindakan seorang timbalan menteri hadir sama dengan memegang cek replika berlogo jenama arak yang menaja acara itu.

Mohamed Sukri Omar

Dia seterusnya mempersoalkan jika ini “Islam ‘rahmatan lil alamin’ yang mahu diperjuangkan oleh Amanah?”

Walaupun Sukri tidak menamakan timbalan menteri itu, dia dipercayai dia merujuk kepada Aiman yang hadir pada majlis berkenaan.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS