Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Jasin terkejut ada 'kepanasan' dengan Qunut Nazilah di Parlimen
Diterbitkan:  Jul 23, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail menjelaskan mengapa dan bagaimana dia boleh membaca doa termasuk Qunut Nazilah selepas berakhirnya sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Berucap di sebuah majlis ceramah di Jasin dan disiarkan melalui media sosial, Zulkifli yang digelar sebagai tuan guru berkata dia membaca doa berkenaan kerana diminta orang ahli Parlimen lain.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan siapa ahli Parlimen yang dimaksudkannya.

Menurut Zulkifli, sebenarnya ada orang lain yang juga boleh membaca doa selepas sidang berakhir namun dia tidak dapat menolak apabila terus diminta berbuat demikian.

"Kita tidak boleh berbuat apa-apa tanpa bergantung kepada pertolongan Allah.

"Apabila suara kita dihalang, beliau (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) yang membawanya di dalam dewan dihalang memasuki Dewan Rakyat selamat enam bulan, mana lagi kita nak 'lari' (memohon pertolongan) kalau bukan kepada Allah?

"Maka mereka minta baca Qunut Nazilah. Apa tujuannya?

"Sebab kita berdepan dengan Blackrock, campur tangan Zionis. Dia supaya Blackrock, Zionis dan golongan yang membantu Zionis dengan mandat politik dan sebagainya, yang mengkhianati kepercayaan rakyat... Doa mereka yang menanam benih bagi melakukan pembunuhan umat Islam di Malaysia suatu masa akan datang.

"Doa agar mereka ini dipastikan oleh Allah gagal dalam agenda mereka. Maka saya angkat tangan dan saya berdoa," katanya.

Ahli Parlimen PN pada 18 Julai lalu mengaminkan bacaan Qunut Nazilah oleh Zulkifli sebagai tanda bantahan terhadap penggantungan Wan Ahmad Fayhsal selama setengah tahun.

Ahli Parlimen Machang itu dikenakan tindakan kerana berbahas menggunakan surat layang berhubung isu pembelian saham Malaysia Airports Holding Bhd.

Tindakan membaca Qunut Nazilah oleh Zulkifli mendapat teguran daripada pelbagai pihak termasuk golongan agamawan yang berasa ia keterlaluan atau di luar konteks sebenar ia disarankan agama.

Menurut Zulkifli, dia tidak menyangka ada sesetengah orang yang "kepanasan" dan "koyak" dengan doa tersebut terutama apabila ia menjadi tular kemudiannya.

"Kemudian ada teguran daripada menteri sampai ke teguran pak imam, termasuklah agamawan," katanya.

Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menambah, dia berasa "pelik" kerana pihak terbabit bersuara apabila dia membaca doa berkenaan namun mendakwa mereka "diam" dalam isu Blackrock.

"Kenapa senyap? Kenapa tak bersuara?" katanya.

Mendakwa ia adalah agenda liberalisasi oleh golongan sekular dalam negara ini, Zulkifli berkata golongan terbabit mahu menghakis tindakan orang ramai untuk mengagungkan syiar Allah sehingga akhirnya tidak lagi bergantung kepada-Nya.

Serangan pihak lawan itu, tambahnya, menunjukkan seolah-olah dia dan PN menunggang agama dan melampau.

"Agenda ini sangat bahaya," dakwanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS