Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asean perlu lebih lantang suarakan isu Palestin - Rais Yatim

Asean perlu lebih lantang dan bersatu menyuarakan pandangan mengenai penindasan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin, kata bekas Menteri Luar Rais Yatim.

Beliau yang juga Penasihat Perdana Global Peace Foundation (PGPF) berkata isu Palestin boleh disuarakan negara anggota Asean menerusi platform seperti forum, majlis menteri-menteri luar dan majlis ketua-ketua kerajaan.

"Asean sebagai badan wilayah di Asia Tenggara perlu lebih ‘dengar’ dan ke depan dalam menentukan nasib Palestin.

"Dalam soal sama ada Palestin harus ada gencatan senjata yang dilakukan oleh Israel, ini mesti merupakan satu desakan dari Asean," katanya ketika ditemui pada Colloquium Coalition of Malaysian Non-Governmental Organisations (NGO): Free Palestine, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Rais berkata selain Asean, organisasi antarabangsa seperti Non-Aligned Movement (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara dari liga Arab juga perlu menunjukkan ketegasan mereka dalam isu melibatkan Palestin.

Sementara itu Presiden PGPF Dr Mahathir Mohamad berkata kolokium itu adalah platform bagi NGO mengesahkan semula komitmennya terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk menuntut dan menekan masyarakat antarabangsa untuk bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku dan menghentikannya.

Ucapan Dr Mahathir Mohamad dibacakan oleh Pengerusi PGPF Norian Mai.

Antara penceramah dalam kolokium itu ialah bekas naib setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dr Hans Christof Von Sponeck, Neturei Karta (pertubuhan antarabangsa Ortodoks anti-Zionis), Rabbi Yisroel Dovid Weiss; Calon Hadiah Keamanan Nobel 2024 Dr Maung Zarni; dan Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

Sementara itu, Maung berasal dari Myanmmar berpendapat bahawa Asean sentiasa gagal dalam memperjuangkannasib rakyat negara-negara yang mengalami pembunuhan beramai-ramai.

"Asean gagal di Kemboja (Cambodian genocide 1975-1979), gagal di Burma (perang saudara Myanmar). Dan kini Asean gagal memperjuangkan nasib Palestin" katanya.

Dalam menjawab soalan penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin, Dr Hans berkata bahawa ia perlu dilakukan tanpa tekanan daripada negara-negara barat.

"Buat masa ini, negara-negara barat memberi tekanan dalam penyelesaian konflik Israel-Palestin. Ia perlu diselesaikan oleh dua pihak yang terlibat tanpa tekanan negara-negara barat ini.

"Sudah pasti dengan Israel agak sukar untuk dua pihak ini mencapai penyelesaian. Tapi, ianya hanya boleh dilakukan dua pihak ini tanpa gangguan pihak luar.

"Ini adalah masa terbaik untuk penyelesaian dua negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS