Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa Anwar ikut jejak Dr M kenakan moratorium Akta Hasutan

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mengenakan semula moratorium terhadap Akta Hasutan 1948 seperti dilakukan di bawah pentadbiran PH 1.0 yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin veteran PKR itu berkata walaupun terdapat banyak kelemahan sepanjang tempoh pertama PH berkuasa, moratorium Akta Hasutan berjaya dilaksanakan sehinggalah kerajaan PH tumbang pada Feb 2022.

“Jadi saya percaya kerajaan Madani yang ‘lebih reformis’ di bawah perdana menteri Anwar, sepatutnya lebih progresif berbanding Mahathir.

“Saya mencadangkan agar kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar mencontohi PH 1.0 di bawah Mahathir dan menguatkuasakan moratorium serta-merta ke atas penggunaan Akta Hasutan 1948,” kata Hassan kepada Malaysiakini hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas siasatan terhadap peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali di bawah Akta Hasutan hari ini.

Rafique disiasat berhubung ucapannya semasa perhimpunan antikerajaan bulan lalu dengan menggelarkan Anwar sebagai “scammer”.

Terdahulu, Rafique yang merupakan penganjur perhimpunan “Rakyat Lawan Anwar” disoal siasat di Bukit Aman setelah satu laporan polis dibuat di Perlis oleh sebuah NGO yang tidak dinamakan.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga seorang peguam, berkata Akta Hasutan bertentangan dengan prinsip asas undang-undang di mana"niat" di sebalik kesalahan yang didakwa perlu dibuktikan terlebih dahulu.

“Sekiranya polis mahu membuka kertas siasatan ke atas Rafique, adalah lebih adil dan profesional untuk mereka menggunakan Kanun Keseksaan, contohnya Seksyen 505(b),” katanya.

Seksyen 505 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan berkaitan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita.

Seksyen 505(b) pula memperuntukkan kesalahan berkaitan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap Negara atau terhadap ketenteraman; atau

Awal bulan ini kumpulan masyarakat sivil mengadakan demontrasi bagi menggesa perdana menteri menunaikan janji PH untuk memansuhkan undang-undang era British itu.

Hassan antara ahli parlimen kerajaan yang menerima memorandum disampaikan kumpulan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada Mac lalu berkata kabinet telah memberikan kebenaran untuk meneruskan cadangan pindaan Akta Hasutan, tetapi ia bertujuan membantu kerajaan mengekang provokasi berhubung isu 3R (kaum, agama, raja).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS