Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerjasama BN-PH mampu rampas kembali kerusi Nenggiri

BN yakin parti itu mampu merampas kembali kerusi DUN Nenggiri berdasarkan kerjasama erat dengan PH ketika ini.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata, kesemua jentera gabungan perpaduan akan turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri bermula 3 Ogos nanti.

Katanya, parti komponen BN iaitu MCA dan MIC juga akan turun padang bagi membantu kempen calon BN.

"Ya, (MCA dan MIC) sudah tentu, apabila kita kata BN-PH semua sekali parti komponen akan terlibat.

"Semua yang berada dalam (kerajaan perpaduan) memang akan turun. Tidak timbul (boikot) sebab semangat BN-PH ini bila PRK sahaja dia akan rasa tanggungjawab untuk bersama," katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan, Yaakub serta Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata BN akan memberi fokus kepada kempen secara berkelompok, supaya dapat memberi tumpuan kepada pengundi yang juga ahli dan penyokong parti itu.

"Kita tidak mahu fokus kepada ceramah-ceramah mega seperti PRK yang lalu dan fokus kita adalah sasaran berkelompok pengundi sebab itu kita akan kenal pasti ahli dan penyokong kita.

"Kita ada penyokong antara BN dan PH agar semua jentera dapat menumpukan kepada semua pengundi di Nenggiri tanpa terlepas walaupun seorang," katanya lagi.

PRK Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka pada 19 Jun lalu.

Ia susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

‘Orang Asli tetap setia kepada BN’

Dalam pada itu, Asyraf berkata pengundi masyarakat Orang Asli akan terus menjadi simpanan tetap kepada BN

"Orang Asli sentiasa setia dengan BN, saya amat memuji kepimpinan yang amat mulia Tengku Razaleigh Hamzah. Bila tak berjaya dalam PRU lepas seluruh jenteranya bergerak untuk menangkan kembali kerusi," katanya lagi.

Sementara itu, Adly berkata PH akan memberi tumpuan kepada 2,400 pengundi putihnya untuk memberi sokongan kepada calon BN.

Katanya, majlis pelancaran jentera PH semalam oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyaksikan 300 orang keluar memberi sokongan.

"PH ada 2,400 pengundi putih di situ, fokus PH untuk pastikan pengundi putih keluar mengundi.

"Pelancaran jentera PH semalam hari Ahad, hari bekerja aada 300 hadir, ia adalah satu gelombang baru bagi rakyat Kelantan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS