Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes CBT babitkan RM6.6b: Tiada DNAA buat Najib, Irwan Serigar

Najib Razak dan Mohd Irwan Serigar Abdullah gagal memperoleh pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) atas enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini tadi menolak permohonan DNAA pasukan pembelaan, selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka masih belum berjaya menyahklasifikasikan banyak lagi dokumen perbicaraan.

Sebaliknya, hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin memberi masa tiga bulan kepada pendakwaan untuk menyerahkan semua dokumen itu, sebelum menangguhkan perbicaraan ke 14 Nov ini.

"Pihak-pihak diminta bersedia kerana kes akan diteruskan pada tarikh tersebut, tiga bulan adalah mencukupi untuk pendakwaan menyerahkan kesemua baki dokumen sebelum perbicaraan bermula.

"Sila ambil maklum tarikh akhir perbicaraan, tiada lagi penangguhan," kata Hakim Jamil.

Dia bagaimanapun, membenarkan pengosongan beberapa tarikh perbicaraan supaya pihak pendakwaan boleh mendapatkan kebenaran daripada tiga kementerian dan kabinet untuk menyahklasifikasi dokumen tersebut dan menyerahkannya kepada pasukan pembelaan.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan beberapa penangguhan berikutan pasukan pembelaan masih belum menerima dokumen yang diperlukan untuk pembelaan kedua-dua tertuduh.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan K Kumaranedran, yang masing mewakili bekas perdana menteri Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan, memohon DNAA kerana pihak pendakwaan masih belum memberikan dokumen itu sejak kedua-dua mereka didakwa pada Mei 2018.

Mereka menegaskan bahawa pihak pendakwaan hanya cuba menyerahkan beberapa dokumen lewat petang Jumaat antara jam 5.45 petang dan 6 petang, apabila pejabat telah ditutup.

Menurut mereka, kelewatan itu mengakibatkan tiada masa untuk membincangkan strategi pembelaan dengan kedua-dua tertuduh.

“Apa yang mengganggu saya ialah pihak pendakwaan menyebut pada 2020 mereka bersedia untuk meneruskan perbicaraan, tetapi tiada usaha untuk menyahklasifikasikan dokumen itu sejak beberapa tahun lalu.

"Mereka memberi sedikit demi sedikit dan bukannya bersikap adil kepada anak guam saya. Demi keadilan, kami mahu DNAA," kata Kumaraendran.

Farhan menyuarakan sentimen yang sama untuk diberikan DNAA, sambil menambah bahawa pihak pendakwaan sentiasa boleh mendakwa semula Najib dan Irwan apabila mereka bersedia dengan dokumen yang didedahkan.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi membantah permohonan  DNAA itu. Katanya, perbicaraan masih boleh diteruskan dengan saksi yang kurang penting yang tidak bergantung kepada dokumen-dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Jamil kemudiannya menolak permohonan DNAA, dan pada masa yang sama mengarahkan pihak pendakwaan menyegerakan untuk menyahklasifikasikan dokumen untuk dikongsi bersama dengan pasukan pembelaan.

Pada 24 Okt 2018 Najib, 70, dan Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). 

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleg membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS