Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagi Onn Hafiz, Najib antara PM terbaik Malaysia

Pengerusi Umno Johor Onn Hafiz Ghazi menyifatkan Najib Razak sebagai antara perdana menteri terbaik Malaysia dan apa yang terjadi kepadanya pada masa ini sangat menyedihkan.

Berucap merasmikan mesyuarat Umno Pekan hari ini, Onn Hafiz menyuarakan harapannya agar pimpinan Umno terus memperjuangkan apa yang disebutnya sebagai keadilan terhadap Najib.

Najib merupakan ahli Parlimen Pekan sejak 1986 hingga 2022.

"Saya akui sangat terhutang budi dengan Najib kerana dia begitu ikhlas bekerja untuk rakyat, bukan jenis pemimpin yang 'berlakon' depan orang ramai dan saya percaya ramai menyesal dengan apa yang berlaku pada PRU-14.

"Saya sendiri pun masih rindukan Najib kerana banyak perkara dilakukan (bekas) pemimpin utama kita itu menunjukkan bahawa dia lebih sayangkan orang lain (rakyat) berbanding dirinya sendiri," katanya ketika berucap di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, dekat Pekan, Pahang, hari ini.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International. Dia juga sedang berdepan perbicaraan lain, termasuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Dalam kes SRC, dia pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Namun pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkannya kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Najib kini sedang membuat permohonan agar baki hukuman penjara ke atasnya dijalani sebagai tahanan di rumah.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga menteri besar Johor mengingatkan pemimpin Umno agar terus memperjuangkan pembebasan Najib.

"Saya percaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sedang berusaha untuk membantu Najib walaupun kita tahu urusannya bukan mudah... perlu melalui proses tertentu, termasuk Lembaga Pengampunan.

"Namun, kita harap mereka tidak akan berhenti memperjuangkan pembebasan Najib," katanya lagi.

Dalam pada itu, Umno Pekan masih menaruh harapan agar Najib mendapat pembelaan sewajarnya dan dibebaskan sebelum PRU16.

Ketuanya Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata usul berkaitan perkara itu adalah antara perkara utama yang dibincang dalam mesyuarat Umno Pekan hari ini.

"Umno Pekan sentiasa terhutang budi kepada Najib dan menganggapnya sebagai simbol yang membakar semangat kami dalam meneruskan perjuangan dalam parti," katanya ketika ditemui media selepas perasmian.

Selain usul pembebasan Najib , Umno Pekan juga akan memberi tumpuan kepada usaha merampas semula kerusi DUN Pulau Manis - yang terletak dalam Parlimen Pekan - yang dimenangi PN pada PRU lalu.

"Kita akan berusaha merampas semula kerusi DUN Pulau Manis dalam PRU-16.

"Apa yang berlaku pada PRU lalu adalah satu kesilapan selepas pengundi di situ membuat keputusan berdasarkan permainan persepsi oleh PN," dakwanya.

Kerusi DUN Pulau Manis gagal dipertahankan BN apabila menyandang kerusi itu, Khairuddin Mahmud hanya memperoleh 9,133 undi manakala calon PN, Rafiq Khan mendapat 13,064 undi.

Bagaimanapun BN berjaya mempertahankan kerusi parlimen Pekan dan tiga lagi kerusi DUN dalam Parlimen itu, iaitu Chini, Bebar dan Peramu Jaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS