Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buruh didenda RM5,000 beri suapan kepada pegawai polis

Seorang buruh warga Myanmar didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah memberikan suapan RM250 kepada seorang pegawai polis minggu lepas.

Mohammad Shakir Mohammad Zokoria, 27, didakwa memberikan suapan wang itu kepada seorang inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 15 Julai di Balai Besar Alor Tempoyak, Dungun.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak menangkapnya atas kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai 1946, iaitu tidak mempunyai lesen untuk melakukan aktiviti perniagaan barangan lusuh.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun, diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai seperempat daripada tempoh penjara yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norashima Khalid turut menetapkan hukuman enam bulan penjara sekiranya Mohammad Shakir gagal membayar denda, bagaimanapun dia membayar denda terbabit.

Mahkamah turut membenarkan wang rasuah RM250 itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof manakala Mohammad Shakir tidak diwakili peguam.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS