Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tunggu macam orang bodoh' - Wee bidas AirAsia
Diterbitkan:  Jul 21, 2024 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Beberapa kelewatan penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu ke Sandakan semalam mencetuskan kemarahan bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong.

Menerusi Facebook, Wee, yang menyatakan rasa kecewa, membidas syarikat penerbangan tambang murah itu kerana didakwa "lari daripada tanggungjawab" selepas menangguhkan penerbangan - yang dijadualkan pada 3.10 petang semalam - lima kali.

“Seawal 8.40 pagi pada 20 Julai 2024, saya menerima SMS dari pihak AirAsia bahawa penerbangan saya ditunda ke 5.55 petang pada 20 Julai 2024.

"Sekitar 2 petang selepas saya 'check out' dari Hotel Le Meridian Kota Kinabalu, saya sekali lagi dimaklumkan oleh pihak AirAsia bahawa pernerbangan saya terpaksa ditunda ke 11.30 malam 20 Julai 2024.

"Pada jam 8.55 malam, 20 Julai 2024, saya menerima mesej dari AirAsia bahawa penerbangan saya BKI-SDK akan ditunda ke 2.10 pagi pada 21 Julai 2024.

"Akan tetapi, pada jam 10.15 malam, 20 Julai 2024, saya dimaklumkan oleh pihak AirAsia bahawa penerbangan saya akan diawalkan ke 1.30 pagi pada 21 Julai 2024. Saya pun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada sebelum jam 1 pagi pada 21 Julai 2024.

"Namun, saya betul-betul terkilan apabila staf AirAsia di kaunter mengesahkan bahawa penerbangan AK6498 telah dibatalkan dan segala maklumat mengenai penerbangan hanya akan diketahui dan dimaklumkan kepada semua penumpang pada 7 pagi, 21 Julai 2024.

"Hey! Tolong jangan susahkan kami! Saya mendaftar keluar dari hotel pada pukul 2 petang. Selepas itu, saya tunggi macam orang bodoh,” katanya dalam video berdurasi tiga minit itu.

Presiden MCA itu menegaskan bahawa AirAsia sepatutnya memberi notis awal kepada penumpang sekiranya terdapat masalah dengan penerbangan itu.

Ini, katanya, bagi membolehkan penumpang mempertimbangkan alternatif lain untuk sampai ke destinasi mereka.

"Kalau AirAsia dah nak batalkan penerbangan AK6498, awal-awal lagi patut maklumkan kepada penumpang dan jangan sekali memberi maklumat atau harapan palsu kepada penumpang berkali-kali.

"Saya dapati ramai lagi pelanggan AirAsia yang terkandas di KKIA. Kesian mereka. Sekumpulan penumpang yang saya temui di Promenade Hotel marah dengan syarikat penerbangan tersebut yang tidak mengatur sebarang penginapan kepada penumpang yang terkandas selama dua hari sehingga Isnin depan. Bayangkan," katanya.

"Saya terpaksa batalkan program saya di Sandakan yang dijadualkan pada 7 malam, 20 Julai 2024 dan program 10 pagi 21 Julai 2024 masih belum tahu kedudukannya. Maaflah kawan-kawan saya yang menunggu saya di Sandakan,” tambahnya.

Malaysiakini sedang menghubungi AirAsia untuk mendapatkan ulasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS